Friday, June 16, 2006

YOGYAKARTA...AYUH KITA BANGKIT SEMULA

4 JUN 2006 - HARI KEEMPAT
Pergerakan anggota misi diambilalih oleh Dr Kassim bagi meneruskan gerak kerja. Dua unit anggota misi perubatan meneruskan kerja di dua buah hospital sebagaimana dua hari sebelum itu.

Saya difahamkan anggota misi terutama sukarelawan Putera dan Pemuda Barisan Nasional menyertai rombongan lawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Seri Shahrizat Abd Jalil dan Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi. Turut serta dalam rombongan ini Tuan Muin dari BKN, Saudara Nik, Timbalan Pengerusi Kelab UMNO Indonesia.

Anggota rombongan yang terdiri dari pegawai perubatan dan sukarelawan berlepas pulang dan tiba di LCCT tepat jam 12.00 tengahari.

Maka berakhirlah seketika Misi Pemuda Barisan Nasional ke Yogyakarta dengan merangkul bersama pengalaman, keinsafan serta rumusan yang dibawa balik.

Antaranya, bantuan perubatan dan pegawai perubatan mestilah di sambung dalam tempoh sekurang-kurangnya lima bulan lagi bagi membantu merawat dan memulih mangsa gempa.

Pembangunan semula yang melibatkan kemudahan perubatan seperti hospital dan pusat rawatan mestilah dimulakan.Pembangunan semula juga perlu mengambilkira kemudahan seperti sekolah, masjid dan rumah anak yatim

BERAT HATI UNTUK MENINGGALKAN SOLO

3 JUN 2006 - HARI KETIGA
Saya telah menemui pelajar Malaysia jurusan perubatan seramai 70 orang yang bergerak atas nama Kelab UMNO Jogya yang diketuai oleh Saudara Nik. Anggota pelajar Malaysia ini turut membantu misi dan Putera UMNO ingin merakamkan jutaan tahniah dan syabas kepada mereka yang rata-rata menolak untuk pulang ke tanahair bagi membolehkan mereka turut membantu mangsa atas nama rakyat dan pelajar Malaysia.



Berat hati untuk meninggalkan bumi Solo, namun apa daya masih ada tugas yang sama penting menanti di tanahair. Saya terpaksa berlepas pulang awal ke tanahair pada awal pagi 3 Jun 2006 melalui penerbangan 8.55 pagi dari lapangan terbang Solo untuk menghadirkan diri di majlis Perasmian Skim Simpanan Pendidikan Nasional yang di rasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi di Kepala Batas.

Di majlis yang sama juga Perdana Menteri akan melancarkan Program Peluang Kedua Putera UMNO. Program ini adalah hasil persefahaman antara Putera UMNO, TEKAT Kolej dan Kolej Damansara Utama (KDU)

KEMANUSIAAN ITU TIDAK MENGENAL SEMPADAN GEOGRAFI

Catatan Satu Perjalanan...

2 JUN 2006 - HARI KEDUA
Pada hari kedua anggota misi telah berpecah kepada tiga kumpulan. Kumpulan pertama di ketuai oleh Dr Faraheen dengan dibantu oleh sepuloh orang pegawai perubatan, mula bertugas di Hospital Umum Slamen.

Kumpulan Kedua, diketuai oleh Dr. Kassim dengan dibantu oleh sepuloh orang pegawai perubatan, bertugas di Klinik Nur Hidayah.


Manakala anggota sukarelawan yang di ketuai oleh saya sendiri bergerak mendapatkan bantuan makanan seperti gula, beras, minyak masak serta keperluan lain bagi di agihkan kepada mangsa yang tinggal di khemah penempatan sementara serta yang berlindung di kawasan kediaman yang teruk dilanda bencana.



MISI BERMULA

Hari Pertama di Yogyakarta - 1 JUN 2006
Seawal pagi selepas solat subuh (bagi yang muslim) dan sarapan, saya kumpulkan anggota misi untuk diberi taklimat. Hasil perbincangan dengan Dr Joseph dan pegawai dari Aman Malaysia, BKN dan wakil pelajar Malaysia disana, kami memberi tumpuan kepada operasi meninjau pada hari pertama.

Dari situ anggota Misi telah bergerak mengadakan lawatan ke Hospital Dr Sardjito dengan di bantu oleh Dr. Puan Yoke bagi meninjau mangsa yang ditempatkan disana.

Tidak ada bahasa yang paling tepat bagi menggambarkan keadaan mangsa melainkan bersimpati dengan nasib mereka serta menginsafi diri. Kebanyakan mangsa yang menerima rawatan di sini mengalami patah tulang, kaki dan sebagainya. Diperingkat awal doctor kita sekadar meninjau dan membuat persiapan awal.

Dari Hospital Dr Sardjito anggota misi kemudian bergerak ke Hospital Bantul dan diberi taklimat oleh Dr Joseph Budiman (pakar saraf). Dari lawatan ini anggota misi mengenalpasti kekurangan yang nyata iaitu terdiri dari peralatan perubatan dan ubat-ubatan.

Saya mula menyalurkan bantuan yang ada berupa makanan kepada kanak-kanak yang agak ramai dihospital tersebut.

Dari sini saya telah menyerah bantuan kepada Dr Joseph Budiman bagi pihak Misi Keamanan Putera UMNO dan sumbangan peribadi bernilai US500

Saya dan anggota rombongan juga telah mengadakan perbincangan dengan Dr Fareed dari Meray St…bertanyakan keperluan yang diperlukan oleh Hospital Bantul. Hasilnya Putera UMNO dapat merangka keperluan seterusnya yang diperlukan.

Sepanjang misi bermula saya sentiasa berkomunikasi dengan YB Dato Hishammuddin Tun Hussein bagi melapur perkembangan anggota misi. Malah empat orang yang sentiasa berhubung samada melalui panggilan telefon atau SMS. Selain Dato Hishammuddin, Saudara Khairy Jamaluddin (Naib Ketua Pemuda), Saudara Rahman (Setiausaha Pemuda) dan Datuk Akbar Khan (Setiausaha Politik Dato Hisham). Dato' Hisham kerap mengingatkan saya agar sentiasa berhubung dan selaraskan misi dengan pihak Bahagian Keselamatan Negara (BKN).
Anggota Misi bertemu dengan penduduk dari satu daerah yang teruk dilanda bencana disamping memberi bantuan makanan dan ubat-ubatan.

Kemudaian anggota misi sempat singgah di Klinik Nur Hidayah Bantul, sebuah klinik swasta yang terpaksa membuka klinik tersebut 24 jam dalam usha memberi bantuan kepada mangsa gempa. Di klinik ini juga pembedahan secara terbuka dilakukan. Anggota misi menyerahkan ubat-ubatan dan kerusi roda untuk kegunaan pesakit yang menerima rawatan di sini.

Dari situ anggota bergerak ke Hospital Sakit Umum Sleman. Saya dan anggota misi diberi taklimat oleh Pengarah Hospital Umum Sleman, Dr. Sarjotu.

Seterusnya anggota misi singgah di satu hospital swasta, Panti Nugroho. Anggota misi disambut oleh Dr Teddy Haryono, Pengarah Perubatan serta diberi taklimat ringkas. Kita juga menyerahkan bantuan ubat-ubatan bagi meringankan beban pihak hospital.

Dari gerak kerja hari pertama anggota misi merasakan bahawa keperluan ubat-ubatan dan pakar perubatan serta bantuan makanan adalah antara keperluan yang mendesak di sana. Ketika ini misi bantuan bagi merawat mangsa adalah keutamaan.

LAPANGAN TERBANG SOLO YOGYAKARTA



Yogya..antara kita tidak ada bezanya...

Tepat jam 7.00 petang waktu tempatan atau 6.00 petang waktu Malaysia pesawat AK 9994 selamat mendarat di Lapangan terbang antarabangsa Solo

Jejak sahaja kami di bumi Yogyakarta hati kecil saya mula tersentuh. Meskipun kepekatan malam tidak banyak yang dapat dilihat namum suasana di lapangan terbang tersebut memberi gambaran awal bencana yang melanda Yogyakarta.

Ketibaan rombongan kami disambut oleh Saudara Anas Hafis Mustafa dan rombongan dari AMAN Malaysia. Rombongan terus dibawa ke hotel penginapan iaitu Hotel Nittipuran, iaitu kira-kira satu jam perjalanan.

Gambaran awal yang diberi kepada saya tentang bencana yang melanda Yogyakarta oleh Saudara Anas dan pegawai-pegawai AMAN Malaysia amat mengharukan.

Katanya, kejadian yang berlaku menyebabkan banyak rumah penduduk runtuh, sejumlah bangunan retak dan memutuskan bekalan elektrik serta perhubungan telefon, manakala Lapangan Terbang Adisutjipo, Yogjakarta ditutup akibat mengalami kerosakan.

Dari angka yang dikeluarkan oleh Persatuan Palang Merah Antarabangsa menganggarkan 200,000 penduduk hilang tempat tinggal.

Bila ditanya tentang angka rasmi korban beliau menjelaskan, setakat ini tiada angka rasmi korban dikeluarkan. Katanya daerah Bantul, di selatan Yogjakarta mencatatkan korban paling ramai iaitu 2,159 orang.

Hospital-hospital di sekitar Yogjakarta juga dipenuhi dengan beratus-ratus mangsa yang cedera dan para pegawai perubatan bertungkus lumus merawat mereka yang luka dan patah tulang.

Katanya lagi, selepas gempa pertama berlaku, 50 gegaran susulan berskala kecil dicatatkan dalam ukuran kekuatan yang berbeza-beza, membuatkan penduduk terus cemas dan ketakutan.

Apa yang paling dikhuatiri penduduk takut berlakunya tsunami sekali lagi. Bagaimanapun mangsa gempa bumi kembali tenang petang ini kerana sangkaan mereka akan terjadi tsunami tidak benar.

Menurut AMAN Malaysia lagi, kawasan yang paling teruk digegar gempa bumi ialah di Bantul, Kabupaten Klaten, 25 kilometer ke selatan Yogjakarta yang mencatatkan 50 orang penduduk terbunuh sementara banyak rumah di pesisir pantai Jawa Tengah runtuh, memandangkan kawasan itu paling hampir dengan pusat gegaran.

Sepanjang perjalanan disamping mendengar penerangan ringkas dari Saudara Anas dan kawan-kawannya, jari jemari saya mencatit sesuatu. Sampai sahaja di hotel penginapan catitan kecil ini siap…

Yogyakarta
Kami datang pada mu
Mencium bumi mu yang ranap
mengusap airmata duka mu
menghirup perit derita mu

MISI SEDIA UNTUK KE YOGYAKARTA

Bermula dengan niat yang baik...

30 Mei 2006
Saya sendiri terpaksa bercakap dengan CEO Airasia bagi mendapatkan penerbangan terus ke Solo. Kata orang, niat baik selalunya Allah SWT akan membantu. Airasia bersedia membantu dan penerbangan ditetapkan pada 31 Mei 2006 jam 4.30 petang melalui LCCT Sepang.

Dari dalam bilik saya menjerit memanggil Farid, Dr Alwi, Dr Kassim dan Latif. Dua tiga kali jeritan saya tidak berjawab, saya buka pintu bilik dan mendapati ruang pejabat Urusetia Putera kosong, tak ada orang. Baru nak tekan handphone mencari mereka saya tengok ada satu nota atas meja setiausaha saya. Bunyinya, “Jangan cari kami, kita jumpa 7.50 malam ni, lepas magrib”. Waktu itu saya tengok jam ditangan baru pukul 2.15 petang.

Saya tenangkan diri dan kembali ke bilik membuat beberapa panggilan lagi. Saya langsung tak call tiga orang ni kerana ingin melihat janji mereka.

Tepat jam 7.26 petang saya terdengar azan dari bilik sembahyang di pejabat saya. Kat pejabat saya memang sudah tersedia bilik khas untuk bersolat tapi agak jarang diadakan solat berjemaah kerana masing-masing sibuk dan suka buat solat sendiri-sendiri.

Tanpa berlengah saya bangun untuk mengambil wuduk. Saya terkejut melihat Dr Alwi, Dr Kassim, Farid dan Abbas sudah sedia di ruang sembahyang. Tanpa banyak berbual kami berjemaah maghrib dengan diiman oleh Abbas. Selepas solat kami mengamin doa memohon keberkatan dan kejayaan misi ini.

Selesai semua sebelum saya sempat berkata apa-apa Dr Kassim kata, semua dah beres kita sambung meeting. Saya gagal mengawal emosi dan ada air jernih bergenang di kelopak mata saya. Terima kasih ya Allah ya tuhan ku.

Malam itu kami berbincang sampai jam 1.20 pagi. Hasil dan keputusannya sungguh menakjubkan.

Laporan Dr Kassim dan Dr Alwi agak mengejutkan saya. Apa tidaknya mereka sudah mendapat pengesahan 11 pegawai perubatan yang akan turut serta ke Yogyakarta, sedangkan surat baru keluar tengahari semalam.

Mengikut laporan Dr Kassim pegawai-pegawai perubatan yang bersedia dan sudah mendapat kebenaran dari pihak atasan masing-masing yang akan turut serta terdiri dari,

Dr. Roslan Ishak – Pakar kesihatan awam dan kawalan penyakit dari Hospital Putrajaya
Dr. Zikri Dato Zainal – Pendaftar perubatan kecemasan juga dari Hospital Putrajaya
Dr. Norshinah Kamarudin – Pakar perunding perubatan dari Hospital Putrajaya Jaya
Dr. Venkateswararao – Pengerusi Biro Perubatan MIC Kebangsaan dan pernah terlibat dalam Misi Bantuan Tsunami ke Aceh
Dr. Nur Faraheen Abdul Rahman – Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan KLIA
Puan Saleha Kasan – Ketua Jururawat dari Pejabat Kesihatan Daerah Gombak
Puan Meriah Awang – Jururawat dari Pejabat Kesihatan Daerah Gombak
Puan Mary Thomas – Jururawat dari Hospital Daerah Tanjong Karang
Dr. S. Ponthirumalavan – Dr. Perunding
En Mohan Chitran – Pembantu Perubatan dari Pejabat Kesihatan Shah Alam
Dr. Siva Kumaran Karupayah – Pakar Perubatan Bahagian Radiologist dari Hospital Kuala Lumpur

Manakala laporan Sdr Farid juga hampir sama. Anggota sukarelawan yang bersedia untuk berkhidmat terdiri dari;
En. Hasmizi Abu Hashim
En. Subki Hussain
En. Khairil Anuar Rusman
En Gunasegaran a/l Nandancumaran – Krew TV3
Mohd Khaidir Ahman – Krew TV3
En. Karunagaran a/l Arumugam – Setiausaha Biro Pemuda MIC Kebangsaan
Dato Mohd Azmi Hamzah – Ahli Jawatankuasa Putera UMNO
En. Nasarudin Mahamud
Muzzairen Rahman
En Roslan Hashim
En. Zamsuri Anuar Zakaria
En Abd Rahim Hussin
En. Mohd Jeffery Yusoff
En. Shaharuddin Othman

Laporan Sdr Latiff pula. Menurutnya misi ini akan membawa bersama tiga tan barangan keperluan yang terdiri daripada, keperluan makanan, peralatan perubatan, alat-alat pemulihan perubatan, implant ortho (100 set), K-Wire(80 set) dan ubat-ubatan. Keseluruhan barangan yang dibawa bernilai RM 80,000.00.

PERSIAPAN AWAL BERJALAN LANCAR

29 Mei 2006 (Isnin) Kg Attap, Kuala Lumpur
Hari tu saya masuk pejabat putera awal pagi. Jam 9.00 pagi saya sudah berada di pejabat Putera. Di pejabat Dr Kassim, Dr. Alwi, Farid, Abbas dan Latiff sudah sedia menunggu saya. Masing-masing dengan fail di tangan lantas menyerbu saya ke bilik.

Perbincangan panjang lebar akhirnya kami mencapai kata sepakat untuk melaksanakan Misi Kemanusiaan ke Yogyakarta.

Misi tersebut dinamakan Misi Bantuan Kemanusiaan bersama Putera UMNO Malaysia, Pemuda Barisan Nasional dan Aman Malaysia.

Satu pasukan petugas telah dibentuk bagi menyelaras dan membuat persiapan sebelum anggota misi bertolak ke Yogyakarta. Hari itu seluruh tenaga Urusetia Putera UMNO telah dikerah memberi tumpuan kepada persiapan misi tersebut. Kerja-kerja lain ditangguh buat seketika meskipun Putera UMNO terlibat dalam program di Kepala Batas pada 3 Jun 2006.

Hari itu juga segala surat menyurat kepada pihak berkuasa hospital bagi mendapatkan khidmat pegawai perubatan dikeluarkan. Begitu juga dengan Sdr Farid yang sibuk untuk mendapatkan sukarelawan dari kalangan Pemuda Barisan Nasional yang bersedia untuk ke sana.

Mengikut jadual awal misi Putera ini akan berlepas ke Yogyakarta melalui penerbangan TUDM pada 30 Mei 2006, tetapi ditunda atas sebab-sebab tertentu. Satu lagi cabaran bagi misi ini. Ini bermakna saya dan pegawai petugas mempunyai masa 28 jam lagi untuk membuat segala persiapan.

Petang itu sekitar jam 4.00 petang sesekali saya melintas ruang pejabat urusetia Putera, nampak semua orang sibuk bekerja. Saya tak nak banyak mengganggu mereka kerana yakin dan percaya masing-masing tahu tugas dan tanggongjawab yang diberi. Sekitar jam 10.00 malam saya tinggalkan pejabat.

MISI KEMANUSIAAN PUTERA UMNO KE YOGYAKARTA

Catatan Sebuah Perjalanan...

28 Mei 2006 (Ahad) Subang Jaya, Malaysia
Pagi minggu itu selepas solat subuh saya sambung tidur. Bangun agak lewat sikit, sekitar jam 8.00 pagi. Kebiasaanya setiap awal pagi dua perkara yang saya lakukan dahulu. Pertama dapatkan akhbar harian dan kedua “on” handphone.

Tetapi pagi minggu itu, mungkin memikirkan untuk memberi masa pagi bersama keluarga, dua perkara kebiasaan itu saya abaikan. Tetapi hati kecil saya rasa tidak berapa sedap lantas mencapai handphone yang terletak diatas meja. Akbar berbagai bahasa saya hanya jelling sahaja sambil mengadap sarapan. Buka sahaja handphone “mood” message bertalu-talu masuk.

Tidak ada yang pelik bagi saya mendengar “mood” message handphone diawal pagi, tetapi hari tu ada terasa sedikit kelainan. Sambil mengadap sarapan bersama isteri dan anak-anak saya belek satu persatu message dari khidmat pesanan ringkas (SMS) yang masuk.

Mata tertumpu pada satu sms dari pimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Roti ditangan yang menanti untuk disuap ditangguh seketika lantas menekan scroll pada handphone untuk membuka baca sms tersebut.

Ringkas bunyinya, “Brother, baca paper hari ini dan buat persiapan untuk satu misi bantuan”. Sms jam 6.34 pagi. Saya pantas meletak roti ditangan lalu bingkas bangun mencari paper. Saya capai mingguan Malaysia dan mata terpaku pada berita muka hadapan “3,000 korban gempa -- Ribuan penduduk Yogjakarta panik, bimbang tsunami kedua berulang”


Saya capai semula handphone lalu membalas sms tersebut. Juga ringkas tulisannya, “ok arahan diterima, roger”. Rasa lapar hilang begitu sahaja. Sambil membaca saya hubungi Saudara Farid Hassan, Ketua Urusetia Putera dan meminta dia panggil Abbas dan Latiff untuk satu meeting di rumah saya jam 11.00 pagi.

Saudara Farid merungut dan “bising” dengan saya tetapi saya tak ada banyak masa untuk bercerita dalam handphone.

Selepas itu orang kedua yang saya hubungi ialah Dr. Kassim Abd Rahim, abang sulung saya yang juga CEO Meru Medical Centre. Pada dia saya juga tak banyak cakap sebaliknya hanya meminta dia menghubungi Dr Alwi Abd Rahman untuk datang ke rumah saya tepat jam 11.00. Meskipun Dr Kassim cuba meminta penjelasan untuk apa perlu datang ke rumah saya sedangkan hari itu adalah hari minggu. Namun abang saya ni saya cukup kenal dan saya tahu dia akan buat apa saja untuk membantu saya.


Tepat jam 11.00 pagi lima orang ni “terpacak” depan rumah saya dan satu mesyuarat tergempar telah diadakan di meja makan rumah saya. Tanpa mengetahui tujuan saya panggil ke rumah, masing-masing bercerita tentang gempa yang melanda Yogyakarta.

Lima yang hadir pada pagi itu terdiri dari,
Dr. Kassim Abd Rahim
Dr Alwi Abd Rahman
Saudara Farid Hassan
Saudara Abd Latif
Saudara Abbas

Saya jelaskan kepada mereka tujuan mesyuarat pelik ini, kerana saya tidak pernah sekalipun mengadakan mesyuarat politik di rumah melainkan kami berkumpul soal keluarga. Setelah semua faham dan menyatakan kesanggupan untuk bekerja dan bertindak, agihan tugas telah dibuat.

Dr. Kassim dan Dr Alwi akan mengumpul seramai 20 orang pegawai perubatan. Saudara Farid akan menyelaras misi tersebut, Saudara Latif akan mendapatkan barangan keperluan manakala Saudara Abbas akan bertindak sebagai “pencari” sumber kewangan.

Mereka meninggalkan rumah saya tepat jam 2.12 petang. Dari raut wajah masing-masing saya sedar ada yang terus bersungut. Tetapi jauh disudut hati saya tetap berbangga dengan mereka kerana setakat ini tidak pernah mengecewakan saya.

Bila semua dah balik barulah saya habiskan membaca surat khabar hari minggu itu.

JAKARTA 27 Mei - Sekurang-kurangnya 3,000 orang dilaporkan terbunuh dan beribu-ribu lagi cedera akibat gempa bumi kuat yang menggegarkan kota Yogjakarta, sekitar Jawa Tengah dan Jawa Timur pagi ini.

Gempa bumi itu menyebabkan berpuluh-puluh ribu penduduk panik dan bergegas mencari tempat perlindungan kerana bimbang akan berlaku tsunami kedua selepas bencana tsunami di Aceh, Sumatera pada Disember 2004 yang mengorbankan ratusan ribu penduduk.

Gegaran dengan kekuatan 6.2 skala Richter selama 57 saat itu berlaku pukul 5.55 pagi waktu tempatan (6.55 waktu Malaysia) dan dikesan berpusat di dasar Lautan Hindi, kira-kira 37.6 kilometer di selatan Yogjakarta.

Saya habiskan membaca dan membelek gambar-gambar kejadian, saya berdoa dalam hati, “Ya Allah ya tuhan ku sesungguhnya engkau maha berkuasa. Selamatkan bumi bertuah, bumi melayu ini dari segala bencana” Amin.

Thursday, June 01, 2006

MISI KEMANUSIAAN DENGAN 30 ANGGOTA

Jaga nama negara dan Pemuda UMNO...
31 MEI 2006
TERMINAL LCC SEPANG
Seperti biasa Terminal Tambang Murah (LCC) Sepang sesak dengan orang ramai yang berurusan. Tetapi disebelah Restoran MacD kat LCC tu dipenuhi dengan kotak dan barangan untuk dibawa masuk ke perut kapal terbang. Anggota petugas mula sampai dengan keperluan masing-masing. Saya tengok urusetia Putera sibuk bertugas.

Tepat jam 4.oo petang Saudara Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia sampai untuk bertemu dan memberi kata-kata semangat kepada anggota misi.

Saya minta checklist dari Farid dan semuanya ada dan pegawai perubatan dan sukarelawan juga semua sudah bersedia.

Menurut Saudara Khairy Jamaluddin (KJ) pasukan seramai 30 anggota yang diketuai oleh saya dan turut disertai oleh 22 doktor dan paramedic serta lima ahli Pemuda MIC.

Kami semua akan bergabung dengan Bahagian Keselamatan Negara (BKN) sebaik tiba di sana untuk arahan selanjutnya.

Pasukan ini juga katanya, selain menjalankan misi kemanusiaan akan memantau dan mengkaji bentuk bantuan yang diperlukan untuk tempoh jangka panjang.

Kami diminta untuk berada disana selama seminggu bagi menilai keperluan mangsa-mangsa gempa bumi supaya bantuan susulan dapat disalurkan kemudian.

Bagaimanapun, anggota-anggota perubatan akan ditempatkan lebih lama bagi membantu merawat mangsa.

Disini saya sekali lagi merakamkan tahniah kepada AirAsia yang menyediakan pesawat khas yang akan terbang terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Solo.

Saudara KJ sempat memberi arahan kepada saya agar misi ini bertindak bagi memulihkan mangsa yang mengalami trauma akibat bencana berkenaan.

Antara pesanan KJ kepada saya Saudara Khairy kepada saya, disamping bertugas membantu mangsa gempa nama baik negara dan Pemuda UMNO perlu dijaga dan ditatang. Kerana ini, katanya adalah maruah negara.