Wednesday, August 23, 2006

PUTERA UMNO TERIMA BEKAS PENAGIH, MAT REMPIT

Dato Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi Putera UMNO ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung PENGASIH

TANDA SOKONGAN : Abdullah (kanan) dan Dato Azeez melihat replika cek yang diserahkan kepada wakil PENGASIH, Yunos Pathi Mohd

Dato Azeez bersama wakil PENGASIH dan Jamal Abdillah ketika sidang media
KUALA LUMPUR 20 Ogos – Putera UMNO berikrar akan berusaha memberi peluang kedua kepada bekas penagih dadah dan mat rempit bagi membolehkan mereka menyambung pelajaran dan mendapatkan pekerjaan.

Pengerusi Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, Putera UMNO akan menjadi platform untuk membela hala tuju anak muda dan menarik mereka keluar daripada belenggu masalah sosial.

"Putera UMNO akan memberikan peluang kedua dan bimbingan dari segi pendidikan, rohani, akhlak, agama dan ekonomi.

"Punca utama masalah ini (dadah dan lumba haram) adalah perpecahan keluarga yang menjatuhkan moral anak muda, seterusnya mendorong mereka mengikut pengaruh kawan," katanya selepas merasmikan Perhimpunan Agung Kelapan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Abdul Azeez turut menawarkan diri sebagai Bendahari Kehormat Pengasih untuk membuktikan kesungguhannya memerangi ancaman dadah, ke arah sifar dadah menjelang 2014.

Beliau menjelaskan, Putera UMNO ingin menukar pandangan masyarakat bahawa bekas penagih dan mat rempit adalah ancaman, kepada anggapan sebagai aset yang boleh dimanfaatkan untuk kemakmuran negara.

"Dadah kini menjadi ancaman kepada golongan masyarakat, tidak kira status. Oleh itu ibu bapa perlu berkomunikasi dengan anak-anak dan mengambil tahu siapa kawan mereka dan apa dilakukan ketika di luar.

"Artis seperti Jamal Abdillah dan Saleem menjadi contoh seorang penagih boleh pulang ke pangkal jalan dan Putera UMNO pula akan membantu bekas penagih untuk maju ke hadapan,” ujarnya.

Abdul Azeez turut menghulurkan derma RM10,000 daripada Putera UMNO kepada Pengasih untuk aktiviti dan program pemulihan penagih.

Dalam pada itu, beliau menyatakan, golongan mat rempit juga perlu diberi peluang kerana kebanyakan mereka tiada bimbingan dan arah tujuan untuk memajukan diri.

"Kebanyakannya tidak mempunyai kerja dan perlumbaan haram menjadi tempat mereka memperoleh sedikit pendapatan.

"Saya cadangkan penjenamaan semula untuk menjadikan mereka (mat rempit) tarikan pelancong dengan mengadakan perlumbaan selamat bersama kelengkapan dan cara yang betul," katanya.

Beliau mencadangkan supaya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis bekerjasama menutup jalan tertentu bagi menyediakan persekitaran selamat untuk mat rempit berlumba.

(Utusan Malaysia)

Tuesday, August 15, 2006

KHAIRY RASMI PEMUDA BALING


Khairy dedah nama orang ‘cucuk’ Dr. M
BALING 11 Ogos – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin secara terbuka menuduh Datuk Ibrahim Ali dan Peguam Matthias Chang sebagai pihak yang ‘mencucuk’ Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyerang kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurutnya, Pengerusi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) itu dan Matthias suka menghasut serta melemparkan kritikan yang tidak berasas kepada kepimpinan negara.

“Inilah orang yang cuba mengeruhkan keadaan dan bukannya Tun Dr. Mahathir,” katanya.

Khairy mendedahkan perkara itu kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Baling di Komplek Rakan Muda, di sini hari ini.

Katanya, beliau telah mendengar apa yang disebut oleh Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Mohamad Taib sebelum ini mengenai ada percubaan untuk menghasut oleh pihak-pihak ini termasuk memburuk-burukkan kepimpinan Abdullah.

Menurutnya, mungkin niat Dr. Mahathir ikhlas iaitu mahu melihat negara lebih maju dengan mengutarakan beberapa soalan tetapi orang-orang di sekelilingnya telah mencucuk bekas Perdana Menteri itu.

Khairy berkata, Ibrahim mempunyai rekod menentang kepimpinan parti, malah pernah dipecat daripada parti.

Sementara Mattias Chang pula yang juga bekas Setiausaha Politik Dr. Mahathir, katanya, sering menggunakan sidang akhbar untuk menghentam kepimpinan negara termasuk mengecam kepimpinan Pemuda UMNO.

“Inilah orang yang cucuk Tun Dr. Mahathir untuk mempertikaikan kepimpinan Perdana Menteri,” tegasnya.

Katanya, beliau mahukan semua ahli pemuda di seluruh negara mendapat maklumat sejelas-jelasnya mengenai tindakan pihak-pihak tersebut memburukkan kepimpinan Perdana Menteri.

“Pemuda UMNO tidak akan membenarkan mana-mana pihak mengambil kesempatan memporak perandakan kepimpinan parti, kalau ada anasir-anasir kita akan tentang habis-habisan,” katanya.

Tegasnya, Pemuda perlu berani untuk terus mempertahankan Presiden UMNO serta kerajaan dari tohmahan dan fitnah yang tidak berasas.

“Kita perlu berani mempertahankan Presiden yang juga Perdana Menteri yang mahu membawa kebenaran supaya UMNO dan kerajaan akan terus menjadi kuat dan kukuh,” ujarnya.
(Utusan Malaysia)

Untuk melihat gambar-gambar sekitar majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Baling, Layari...http://pemudabaling.blogspot.com

Monday, August 07, 2006

SKIM PELUANG KEDUA PUTERA UMNO MENDAPAT SAMBUTAN

YAB Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi sambil diperhati oleh Dato Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi Putera UMNO di majlis penyerahan 600 borang kemasukan ahli Putera UMNO ke TEKAT

Pengerusi Putera UMNO Dato' Abdul Azeez Abdul Rahim sambil diperhati oleh Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaluddin di majlis menandatangani Memorandum Persefahaman bersama Kolej Damansara Utama (KDU)

Majlis taklimat dan temuduga yang diadakan di Bayan Baru Pulau Pinang

Sambutan yang diterima dari ahli-ahli Putera UMNO amat menggalakkan


Program ini tidak sahaja terbatas kepada ahli Putera malah terbuka kepada anak-anak ahli UMNO. Sebahagian daripada peserta yang hadir


Taklimat dan temuduga yang diadakan di Sandakan, Sabah

Di DUN Kupang, Parlimen Baling

Di Pejabat UMNO Bahagian Baling

Di DUN Kuala Ketil, Parlimen Baling




Menyedari peluang pendidikan tidak pernah terbatas dengan dasar kerajaan menggalak dan memberi peluang kepada generasi muda untuk mendapat pendidikan, Putera UMNO mengorak langkah dengan memperkenalkan Skim Peluang Kedua Pendidikan dan Kerjaya Putera UMNO (SPK2)

Melalui skim ini mana-mana ahli Putera yang berumur dari 18 hingga 25 tahun berpeluang untuk menyertai program ini. Penekanan diberi kepada remaja yang tercicir dalam pendidikan. Memiliki kelulusan minima diperingkat Penilaian Menengah Rendah (PMR), sudah memadai untuk ahli Putera UMNO menyertai skim ini.

Putera UMNO mengambil pendekatan ini sebagai menyahut seruan kerajaan untuk memberi peluang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia terutama dibidang kemahiran dan kepakaran.

Ada tiga matlamat yang menjadi sasaran Putera UMNO dalam mengemudi program ini. Matlamat ini bagi memberi impak kehadiran Putera UMNO kepersada politik negara bukan sekadar untuk ‘berpolitik’ atau bagi memeriahkan rencah politik tanahair, tetapi Putera UMNO ada hala tuju yang jelas dan nyata.

Keciciran pelajar melayu mencapai peratus yang tinggi terutama di kawasan luar bandar. Keciciran dari segi pendidikan menyumbang kepada kadar kemiskinan terus kekal di kawasan luar bandar. Kerajaan menyedari perkara ini dengan adanya berbagai skim pembiayaan serta institusi pembelajaran yang di wujudkan. Namun masih berlaku keciciran ketara dari segi peluang.

Putera UMNO melihat perkara ini sebagai satu ruang kosong yang selama ini semua pihak terlepas pandang. Hasilnya Putera UMNO tampil bertindak sebagai ‘badan perantara’ menjadi jambatan antara kumpulan sasaran ini dengan pihak institusi pendidikan dan badan penyelaras tabung pendidikan.

Putera UMNO mempunyai 'kilang’ yang mengumpulkan tenaga manusia disemua peringkat. Kerajaan mempunyai skim pembiayaan pendidikan, pihak swasta dan agensi kerajaan memiliki institusi pendidikan. Kini Putera UMNO tampil sebagai badan penyelaras menemukan tiga pihak ini dalam usaha memberi peluang kedua kepada remaja mencapai tahap pendidikan yang terbaik, terutamanya di bidang kemahiran.

Hasilnya, Putera UMNO telah mengikat janji dengan berbagai pihak dalam merealisasikan program ini.

Putera UMNO telah mengikat janji dengan The Institute of Automotive Technology (TEKAT), Kolej Damansara Utama (KDU) dan International Universiti College of Technology Twintech. Program ini di iktiraf oleh The Institute of The Motor Industry (UK), RCFISET, Universiti Malaya. Program ini juga mendapat kerjasama DRB-HICOM, Naza Group of Companies dan EON, Edaran Otomobil Nasional Berhad.

Putera UMNO tidak melakukan sesuatu sekadar ‘melepas batuk di tangga’. Setelah pelajar yang ‘dinaiktaraf’ oleh Putera UMNO ini ‘gradute’ dari mana-mana institusi yang dikendali dengan kerjasama Putera UMNO, kerja sudah menunggu mereka. Kesediaan DRB-Hicom, Edaran Otomobil Berhad dan Naza Group of Campanies sudah sedia menerima pelajar ini sebagai sebahagian daripada tenaga kerja mereka.

Bidang kursus yang diberi penekanan ialah otomotif, perhotelan dan paramedic. Bagi perancangan masa hadapan berbagai bidang kursus lagi akan diperkenalkan.

Sebagai penanda arah kepada kesungguhan Putera UMNO memberi peluang kedua kepada ahli-ahli Putera menimba ilmu dan melengkapkan diri dengan kemahiran pada tanggal 4 Jun 2006 YAB Dato’ Seri Abdullah Bin Hj Ahmad Badawi Perdana Menteri Malaysia telah menyerahkan 600 Borang Kemasukan Ahli Putera UMNO kepada TEKAT Auto Terminal

Melangkah setapak pada 7 Mei 2006 Pengerusi Putera UMNO Malaysia Dato Abdul Azeez Abd Rahim bersama Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia Saudara Khairy Jamaluddin telah menandatangani memorandum persefahaman bersama Kolej Damansara Utama ( KDU )

Hasilnya pada 3 Jun 2006 seramai 40 ahli Putera Bayan Baru, Pulau Pinang telah menghadiri temuduga untuk melayakan mereka mengikuti kursus di Kolej Damansara Utama dan 65 peserta untuk TEKAT. Temuduga tersebut telah diadakan di Dewan JKK Sg Nipah, Batu Maung, Pulau Pinang. Di masa yang sama Putera UMNO telah berjaya mendaftar seramai 115 ahli baru Putera UMNO.

Pada 10 Jun 2006 bertempat di Dewan Masyarakat Sandakan, Sabah seramai 116 peserta hadir untuk temuduga bagi Kolej Damansara Utama dan 118 untuk TEKAT. Manakala 200 ahli baru Putera UMNO berjaya didaftarkan.

Pada 11 Jun 2006 bertempat di Pejabat Pemuda UMNO DUN Kupang, Parlimen Baling seramai 83 peserta hadir untuk temuduga bagi Kolej Damansara Utama dan 110 untuk TEKAT. Manakala seramai 193 ahli baru Putera UMNO berjaya didaftarkan.

Pada 24 Jun 2006 bertempat di Pejabat UMNO Baling, Kedah seramai 85 peserta hadir untuk temuduga untuk Kolej Damansara Utama dan 100 peserta untuk TEKAT. Manakala seramai 185 ahli baru Putera UMNO berjaya didaftarkan.

Pada 25 Jun 2006 bertempat di Pejabat UMNO DUN Kuala Ketil, Parlimen Baling seramai 56 peserta ditemuduga untuk Kolej Damansara Utama dan 96 peserta untuk TEKAT. Seramai 152 ahli baru Putera UMNO berjaya didaftarkan.

Setakat Ogos 2006 seramai 1,180 peserta yang telah ditemuduga dan berkelayakan untuk mengikuti kursus di tiga institusi pilihan iaitu bagi bidang Perhotelan di bawah Kolej Damansara Utama seramai 580 peserta. Bidang otomotif seramai 600 peserta telah mendapat peluang untuk ditempatkan di TEKAT manakala 200 peserta untuk bidang Paramedic di Twintech Technology.

Kesemua pelajar ini akan dibiayai melalui Skim HIAS. Skim HIAS adalah program yang dijalankan di bawah gabungan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dan Kementerian Belia dan Sukan.

Apapun peranan Putera UMNO dalam menjayakan skim ini memerlukan kerjasama dari semua pihak terutama ahli-ahli Putera UMNO serta kepimpinan Pemuda bahagian dari seluruh negara. Matlamat Putera UMNO melalui Skim Peluang Kedua adalah jelas untuk memberi peluang kedua kepada ahli-ahli Putera yang tercicir dalam pelajaran untuk mengembali semula peluang merebut kemakmuran ekonomi di negara ini.

Sunday, August 06, 2006

DEKLARASI PEMUDA MALAYSIA

Pengerusi Putera UMNO, Dato' Abdul Azeez Abdul Rahim mengiringi Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia Saudara Khairy Jamaluddin bagi menyertai demontrasi membantah serangan Israel keatas Lubanan


Semangat dan komitmen anak muda ini dalam memperjuangkan isu membantah serangan Israel keatas Lubanan terpancar dari wajah dan kelantangannya.

Secara keseluruhan, Deklarasi Pemuda Malaysia menuntut beberapa desakan yang mesti dilaksanakan oleh semua pihak dalam memastikan keamanan dapat dipulihkan di wilayah yang bergolak itu iaitu:

* Mendesak rejim Israel menghentikan serangan tentera dan provokasi terhadap rakyat Palestin di Genting Gaza dan rakyat Lebanon serta menarik balik sekatan dan mengundurkan tenteranya dari Gaza dan Lebanon.

* Mendesak Majlis Keselamatan terutama lima negara anggota tetap majlis itu meluluskan resolusi mengenakan gencatan senjata serta-merta dan menempatkan tentera pengaman.

* Mendesak Majlis Keselamatan meluluskan resolusi membenarkan masyarakat antarabangsa menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza dan rakyat Lebanon.

* Mendesak semua pihak yang terlibat dalam konflik itu supaya berunding bagi membuat pertukaran tawanan dan mereka yang dipenjarakan.

* Mendesak supaya semua pegawai dan menteri Kabinet Palestin dibebaskan segera tanpa syarat di samping merayu masyarakat antarabangsa memberi bantuan kepada rakyat Palestin dan Lebanon serta pelarian.

* Pemuda Malaysia menutup deklarasi itu dengan membuat rayuan:

“Kami Pemuda Malaysia menggesa masyarakat dunia di mana sahaja mereka berada yang menghormati dan mengunjung undang-undang antarabangsa, maruah dan keadilan supaya bersama-sama kami dalam usaha menamatkan kesengsaraan dan penindasan yang dilakukan oleh Israel.’’

10,000 TUNTUT SETIAUSAHA NEGARA AS DENGAR BANTAHAN TERHADAP KEGANASAN ISRAEL

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, lantang dalam menyuarakan suara generasi muda Malaysia yang mahu Israel menghentikan segera pencabulannya keatas Lubanan

Ribuan generasi muda Malaysia tanpa mengira agama mendesak Amerika Syarikat tidak terus melindungi Israel mencabul Lubanan

"Tanda kemarahan dollar amerika dibakar"









GELOMBANG KEMARAHAN RAKYAT MALAYSIA

KUALA LUMPUR 28 Julai – Rakyat Malaysia, tanpa mengira agama hari ini bersatu dalam gelombang kemarahan ke atas kuasa besar Amerika Syarikat (AS) kerana ‘berpeluk tubuh’ melindungi Israel yang bermaharajalela membunuh penduduk Lebanon dan Palestin.

Mereka mengadakan demonstrasi di hadapan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini bagi menuntut Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice - yang berada dalam bangunan itu - keluar bagi membolehkan suara mereka didengar.

Kumpulan itu cuba memecah masuk ke dalam bangunan itu untuk bertemu dengan Rice yang sedang menghadiri Forum Serantau ASEAN (ARF), namun dihalang oleh polis antirusuhan.

‘‘Turun bawah sini atau kami akan masuk melalui pintu ini,’’ jerit Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, yang mengetuai perhimpunan 10,000 orang itu.

Beliau juga mendesak AS menggunakan kuasanya menghentikan kempen ketenteraan Israel di Lebanon dan menuntut Rice menemuinya bagi menerima memorandum mereka.

Rice tidak keluar.

Namun, Rice dalam sidang akhbar petang ini berkata, AS akan membantu pihak-pihak yang terbabit dalam konflik Israel-Lebanon menampilkan syarat-syarat yang boleh membawa kepada gencatan senjata lebih awal.

“Kami berharap untuk mencapainya secepat mungkin bagi menamatkan keganasan ini. Itu yang kami harapkan,” katanya pada sidang akhbar selepas berakhir forum itu.

Sambil menggenggam penumbuk ke udara, penunjuk perasaan yang terdiri daripada anggota Barisan Nasional (BN) dan Pas itu melaung slogan ‘Allahuakbar dan Jahanam Israel, Jahanam Amerika’.

Perhimpunan yang diadakan dalam hujan lebat itu bermula selepas solat Jumaat di Masjid As-Syakirin berhampiran Menara Berkembar Petronas sebelum ia diteruskan ke KLCC, tempat berlangsungnya Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN Ke-39.

Mereka turut membakar bendera Amerika Syarikat, bendera Israel dan patung menyerupai Presiden George W. Bush, Rice serta Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert.

Beberapa orang pemimpin kanan Pemuda UMNO, MCA, MIC, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat (JUST), Dr. Chandra Muzaffar turut mengambil kesempatan menyampaikan pidato mengutuk kekejaman rejim Zionis itu sambil melaungkan ungkapan ‘Jahanam Israel, Celaka Bush dan Halau Rice’.

Khairy dalam sidang akhbar selepas itu berkata, pihaknya mahu negara-negara Islam keluar daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Apa guna jadi ahli PBB kalau majoriti ahli PBB tidak boleh berbuat apa-apa kerana kuasa veto yang dimiliki negara-negara besar.

“Jikalau institusi yang ditubuhkan untuk menjaga keamanan dunia sudah tidak berfungsi dengan baik, kita harus keluar daripada pertubuhan tersebut,’’ tegas beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Malah beliau turut mengajak negara-negara Islam memikirkan tindakan ketenteraan bagi menyekat keganasan rejim Zionis itu.

Katanya, kalau negara-negara Islam seperti Iran dan Pakistan ada senjata yang begitu kuat dan hebat, kenapa negara-negara Islam itu tidak bertindak bagi mempertahankan bumi Palestin.

Dalam perkembangan berkaitan, perhimpunan yang pada mulanya berjalan dengan aman itu tiba-tiba bertukar kecoh apabila Khairy dihalang oleh polis untuk masuk ke KLCC bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Rice.

Bagaimanapun Khairy akhirnya dibenarkan masuk melalui pintu yang disediakan khas untuk pihak media dan berjaya menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Amerika Syarikat.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria yang juga Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan menyifatkan demonstrasi tersebut sebagai cerminan suara rakyat Malaysia yang mahukan dunia menyelamatkan Palestin dan Lebanon.

Ketua Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang turut menyertai perhimpunan itu pula berkata, generasi muda Malaysia akan terus lantang mengecam kezaliman Israel.
Terima Kasih Utusan Malaysia

Friday, August 04, 2006

PEMUDA BANTAH SERANGAN ISRAEL KE ATAS LUBANON


Pemuda Barisan Nasional yang diketuai oleh Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin mula berkumpul di perkarangan Masjid KLCC selepas solat Jumaat.


Dari Masjid KLCC lebih 5,000 pemuda yang turut disertai oleh Putera UMNO mula berkumpul di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat.


Di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat Pemuda Barisan Nasional mula menyatakan bantahan kepada Amerika Syarikat yang menjadi 'pelindung' kepada segala keganasan Israel di Lubanan


Tanpa mengira agama Pemuda Barisan Nasional berganding tangan, berhimpun bagi menyatakan bantahan terhadap kekejaman Israel di Lubanan


Agak sukar untuk melihat wajah Dato' Azeez Rahim dicelah-celah ribuan orang kerana beliau sendiri berada di barisan hadapan dalam menyatakan bantahan terhadap kekejaman Israel


Suara genarasi muda yang bencikan kekejaman dan peperangan dilontarkan melalui penglibatan mereka dalam perhimpunan tersebut


"Hentikan Peperangan, Hentikan Pembunuhan dan Hentikan Pencabulan Israel keatas bumi Lubanan" itulah suara generasi muda Malaysia


Khairy Jamaluddin dan barisan Exco Pemuda UMNO Malaysia berucap dihadapan ribuan pemuda yang hadir di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat.


KUALA LUMPUR 21 Julai – Pergerakan Pemuda Barisan Nasional yang dikepalai oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyertai masyarakat antarabangsa mengadakan perhimpunan bagi membantah tindakan Israel melancarkan serangan dan pencerobohan ke atas Palestin serta Lubanon.

Menghimpunkan lebih 5,000 rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama keluar beramai-ramai menyertai perhimpunan anti-Israel bagi mendesak rejim Zionis segera menghentikan serangan dan pencerobohan ke atas kedua-dua negara tersebut.

Tanpa menghiraukan hujan, mereka yang kebanyakannya terdiri daripada ahli Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Putera UMNO, golongan belia dan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memenuhi perkarangan Masjid KLCC selepas solat Jumaat.

Perhimpunan yang diketuai Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin, kemudiannya berarak ke Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak, bagi menyampaikan memorandum bantahan menuntut dan mendesak supaya serangan Israel dihentikan serta-merta.

Sambil menyanyikan lagu keamanan, mereka turut mengibarkan sepanduk dan melaungkan slogan mengecam tindakan ganas Israel.

Selepas menyerahkan memorandum bantahan di Kedutaan AS, perarakan kemudian diteruskan ke Kedutaan Britain, sebelum ditamatkan di Kedutaan Perancis sebagai menghormati nasihat pihak berkuasa.

Pengerusi Putera UMNO, Dato’ Abdul Azeez Abdul Rahim yang ditemui mengatakan bahawa Israel ternyata sebuah kuasa penjajah yang kejam dan tidak langsung menghargai nyawa orang lain selain sebuah bangsa yang ‘pekak dan buta matanya’ dalam melihat erti keamanan.

Katanya, ahli Putera UMNO dari seluruh negara akan bergandinga bahu dengan Pemuda UMNO dalam meneruskan bantahan menggunakan rangkaian pergerakan pemuda seluruh negara.

“Putera UMNO yang mewakili suara generasi muda melayu Malaysia mendesak suara muda di seluruh dunia bangkit mendesak kerajaan Negara masing-masing agar memberi tekanan kepada kuasa-kuasa besar untuk menghentikan keganasan Israel di Lebanon” katanya