Friday, June 16, 2006

MISI SEDIA UNTUK KE YOGYAKARTA

Bermula dengan niat yang baik...

30 Mei 2006
Saya sendiri terpaksa bercakap dengan CEO Airasia bagi mendapatkan penerbangan terus ke Solo. Kata orang, niat baik selalunya Allah SWT akan membantu. Airasia bersedia membantu dan penerbangan ditetapkan pada 31 Mei 2006 jam 4.30 petang melalui LCCT Sepang.

Dari dalam bilik saya menjerit memanggil Farid, Dr Alwi, Dr Kassim dan Latif. Dua tiga kali jeritan saya tidak berjawab, saya buka pintu bilik dan mendapati ruang pejabat Urusetia Putera kosong, tak ada orang. Baru nak tekan handphone mencari mereka saya tengok ada satu nota atas meja setiausaha saya. Bunyinya, “Jangan cari kami, kita jumpa 7.50 malam ni, lepas magrib”. Waktu itu saya tengok jam ditangan baru pukul 2.15 petang.

Saya tenangkan diri dan kembali ke bilik membuat beberapa panggilan lagi. Saya langsung tak call tiga orang ni kerana ingin melihat janji mereka.

Tepat jam 7.26 petang saya terdengar azan dari bilik sembahyang di pejabat saya. Kat pejabat saya memang sudah tersedia bilik khas untuk bersolat tapi agak jarang diadakan solat berjemaah kerana masing-masing sibuk dan suka buat solat sendiri-sendiri.

Tanpa berlengah saya bangun untuk mengambil wuduk. Saya terkejut melihat Dr Alwi, Dr Kassim, Farid dan Abbas sudah sedia di ruang sembahyang. Tanpa banyak berbual kami berjemaah maghrib dengan diiman oleh Abbas. Selepas solat kami mengamin doa memohon keberkatan dan kejayaan misi ini.

Selesai semua sebelum saya sempat berkata apa-apa Dr Kassim kata, semua dah beres kita sambung meeting. Saya gagal mengawal emosi dan ada air jernih bergenang di kelopak mata saya. Terima kasih ya Allah ya tuhan ku.

Malam itu kami berbincang sampai jam 1.20 pagi. Hasil dan keputusannya sungguh menakjubkan.

Laporan Dr Kassim dan Dr Alwi agak mengejutkan saya. Apa tidaknya mereka sudah mendapat pengesahan 11 pegawai perubatan yang akan turut serta ke Yogyakarta, sedangkan surat baru keluar tengahari semalam.

Mengikut laporan Dr Kassim pegawai-pegawai perubatan yang bersedia dan sudah mendapat kebenaran dari pihak atasan masing-masing yang akan turut serta terdiri dari,

Dr. Roslan Ishak – Pakar kesihatan awam dan kawalan penyakit dari Hospital Putrajaya
Dr. Zikri Dato Zainal – Pendaftar perubatan kecemasan juga dari Hospital Putrajaya
Dr. Norshinah Kamarudin – Pakar perunding perubatan dari Hospital Putrajaya Jaya
Dr. Venkateswararao – Pengerusi Biro Perubatan MIC Kebangsaan dan pernah terlibat dalam Misi Bantuan Tsunami ke Aceh
Dr. Nur Faraheen Abdul Rahman – Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan KLIA
Puan Saleha Kasan – Ketua Jururawat dari Pejabat Kesihatan Daerah Gombak
Puan Meriah Awang – Jururawat dari Pejabat Kesihatan Daerah Gombak
Puan Mary Thomas – Jururawat dari Hospital Daerah Tanjong Karang
Dr. S. Ponthirumalavan – Dr. Perunding
En Mohan Chitran – Pembantu Perubatan dari Pejabat Kesihatan Shah Alam
Dr. Siva Kumaran Karupayah – Pakar Perubatan Bahagian Radiologist dari Hospital Kuala Lumpur

Manakala laporan Sdr Farid juga hampir sama. Anggota sukarelawan yang bersedia untuk berkhidmat terdiri dari;
En. Hasmizi Abu Hashim
En. Subki Hussain
En. Khairil Anuar Rusman
En Gunasegaran a/l Nandancumaran – Krew TV3
Mohd Khaidir Ahman – Krew TV3
En. Karunagaran a/l Arumugam – Setiausaha Biro Pemuda MIC Kebangsaan
Dato Mohd Azmi Hamzah – Ahli Jawatankuasa Putera UMNO
En. Nasarudin Mahamud
Muzzairen Rahman
En Roslan Hashim
En. Zamsuri Anuar Zakaria
En Abd Rahim Hussin
En. Mohd Jeffery Yusoff
En. Shaharuddin Othman

Laporan Sdr Latiff pula. Menurutnya misi ini akan membawa bersama tiga tan barangan keperluan yang terdiri daripada, keperluan makanan, peralatan perubatan, alat-alat pemulihan perubatan, implant ortho (100 set), K-Wire(80 set) dan ubat-ubatan. Keseluruhan barangan yang dibawa bernilai RM 80,000.00.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home