Friday, June 16, 2006

LAPANGAN TERBANG SOLO YOGYAKARTA



Yogya..antara kita tidak ada bezanya...

Tepat jam 7.00 petang waktu tempatan atau 6.00 petang waktu Malaysia pesawat AK 9994 selamat mendarat di Lapangan terbang antarabangsa Solo

Jejak sahaja kami di bumi Yogyakarta hati kecil saya mula tersentuh. Meskipun kepekatan malam tidak banyak yang dapat dilihat namum suasana di lapangan terbang tersebut memberi gambaran awal bencana yang melanda Yogyakarta.

Ketibaan rombongan kami disambut oleh Saudara Anas Hafis Mustafa dan rombongan dari AMAN Malaysia. Rombongan terus dibawa ke hotel penginapan iaitu Hotel Nittipuran, iaitu kira-kira satu jam perjalanan.

Gambaran awal yang diberi kepada saya tentang bencana yang melanda Yogyakarta oleh Saudara Anas dan pegawai-pegawai AMAN Malaysia amat mengharukan.

Katanya, kejadian yang berlaku menyebabkan banyak rumah penduduk runtuh, sejumlah bangunan retak dan memutuskan bekalan elektrik serta perhubungan telefon, manakala Lapangan Terbang Adisutjipo, Yogjakarta ditutup akibat mengalami kerosakan.

Dari angka yang dikeluarkan oleh Persatuan Palang Merah Antarabangsa menganggarkan 200,000 penduduk hilang tempat tinggal.

Bila ditanya tentang angka rasmi korban beliau menjelaskan, setakat ini tiada angka rasmi korban dikeluarkan. Katanya daerah Bantul, di selatan Yogjakarta mencatatkan korban paling ramai iaitu 2,159 orang.

Hospital-hospital di sekitar Yogjakarta juga dipenuhi dengan beratus-ratus mangsa yang cedera dan para pegawai perubatan bertungkus lumus merawat mereka yang luka dan patah tulang.

Katanya lagi, selepas gempa pertama berlaku, 50 gegaran susulan berskala kecil dicatatkan dalam ukuran kekuatan yang berbeza-beza, membuatkan penduduk terus cemas dan ketakutan.

Apa yang paling dikhuatiri penduduk takut berlakunya tsunami sekali lagi. Bagaimanapun mangsa gempa bumi kembali tenang petang ini kerana sangkaan mereka akan terjadi tsunami tidak benar.

Menurut AMAN Malaysia lagi, kawasan yang paling teruk digegar gempa bumi ialah di Bantul, Kabupaten Klaten, 25 kilometer ke selatan Yogjakarta yang mencatatkan 50 orang penduduk terbunuh sementara banyak rumah di pesisir pantai Jawa Tengah runtuh, memandangkan kawasan itu paling hampir dengan pusat gegaran.

Sepanjang perjalanan disamping mendengar penerangan ringkas dari Saudara Anas dan kawan-kawannya, jari jemari saya mencatit sesuatu. Sampai sahaja di hotel penginapan catitan kecil ini siap…

Yogyakarta
Kami datang pada mu
Mencium bumi mu yang ranap
mengusap airmata duka mu
menghirup perit derita mu

0 Comments:

Post a Comment

<< Home