Friday, June 16, 2006

MISI KEMANUSIAAN PUTERA UMNO KE YOGYAKARTA

Catatan Sebuah Perjalanan...

28 Mei 2006 (Ahad) Subang Jaya, Malaysia
Pagi minggu itu selepas solat subuh saya sambung tidur. Bangun agak lewat sikit, sekitar jam 8.00 pagi. Kebiasaanya setiap awal pagi dua perkara yang saya lakukan dahulu. Pertama dapatkan akhbar harian dan kedua “on” handphone.

Tetapi pagi minggu itu, mungkin memikirkan untuk memberi masa pagi bersama keluarga, dua perkara kebiasaan itu saya abaikan. Tetapi hati kecil saya rasa tidak berapa sedap lantas mencapai handphone yang terletak diatas meja. Akbar berbagai bahasa saya hanya jelling sahaja sambil mengadap sarapan. Buka sahaja handphone “mood” message bertalu-talu masuk.

Tidak ada yang pelik bagi saya mendengar “mood” message handphone diawal pagi, tetapi hari tu ada terasa sedikit kelainan. Sambil mengadap sarapan bersama isteri dan anak-anak saya belek satu persatu message dari khidmat pesanan ringkas (SMS) yang masuk.

Mata tertumpu pada satu sms dari pimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Roti ditangan yang menanti untuk disuap ditangguh seketika lantas menekan scroll pada handphone untuk membuka baca sms tersebut.

Ringkas bunyinya, “Brother, baca paper hari ini dan buat persiapan untuk satu misi bantuan”. Sms jam 6.34 pagi. Saya pantas meletak roti ditangan lalu bingkas bangun mencari paper. Saya capai mingguan Malaysia dan mata terpaku pada berita muka hadapan “3,000 korban gempa -- Ribuan penduduk Yogjakarta panik, bimbang tsunami kedua berulang”


Saya capai semula handphone lalu membalas sms tersebut. Juga ringkas tulisannya, “ok arahan diterima, roger”. Rasa lapar hilang begitu sahaja. Sambil membaca saya hubungi Saudara Farid Hassan, Ketua Urusetia Putera dan meminta dia panggil Abbas dan Latiff untuk satu meeting di rumah saya jam 11.00 pagi.

Saudara Farid merungut dan “bising” dengan saya tetapi saya tak ada banyak masa untuk bercerita dalam handphone.

Selepas itu orang kedua yang saya hubungi ialah Dr. Kassim Abd Rahim, abang sulung saya yang juga CEO Meru Medical Centre. Pada dia saya juga tak banyak cakap sebaliknya hanya meminta dia menghubungi Dr Alwi Abd Rahman untuk datang ke rumah saya tepat jam 11.00. Meskipun Dr Kassim cuba meminta penjelasan untuk apa perlu datang ke rumah saya sedangkan hari itu adalah hari minggu. Namun abang saya ni saya cukup kenal dan saya tahu dia akan buat apa saja untuk membantu saya.


Tepat jam 11.00 pagi lima orang ni “terpacak” depan rumah saya dan satu mesyuarat tergempar telah diadakan di meja makan rumah saya. Tanpa mengetahui tujuan saya panggil ke rumah, masing-masing bercerita tentang gempa yang melanda Yogyakarta.

Lima yang hadir pada pagi itu terdiri dari,
Dr. Kassim Abd Rahim
Dr Alwi Abd Rahman
Saudara Farid Hassan
Saudara Abd Latif
Saudara Abbas

Saya jelaskan kepada mereka tujuan mesyuarat pelik ini, kerana saya tidak pernah sekalipun mengadakan mesyuarat politik di rumah melainkan kami berkumpul soal keluarga. Setelah semua faham dan menyatakan kesanggupan untuk bekerja dan bertindak, agihan tugas telah dibuat.

Dr. Kassim dan Dr Alwi akan mengumpul seramai 20 orang pegawai perubatan. Saudara Farid akan menyelaras misi tersebut, Saudara Latif akan mendapatkan barangan keperluan manakala Saudara Abbas akan bertindak sebagai “pencari” sumber kewangan.

Mereka meninggalkan rumah saya tepat jam 2.12 petang. Dari raut wajah masing-masing saya sedar ada yang terus bersungut. Tetapi jauh disudut hati saya tetap berbangga dengan mereka kerana setakat ini tidak pernah mengecewakan saya.

Bila semua dah balik barulah saya habiskan membaca surat khabar hari minggu itu.

JAKARTA 27 Mei - Sekurang-kurangnya 3,000 orang dilaporkan terbunuh dan beribu-ribu lagi cedera akibat gempa bumi kuat yang menggegarkan kota Yogjakarta, sekitar Jawa Tengah dan Jawa Timur pagi ini.

Gempa bumi itu menyebabkan berpuluh-puluh ribu penduduk panik dan bergegas mencari tempat perlindungan kerana bimbang akan berlaku tsunami kedua selepas bencana tsunami di Aceh, Sumatera pada Disember 2004 yang mengorbankan ratusan ribu penduduk.

Gegaran dengan kekuatan 6.2 skala Richter selama 57 saat itu berlaku pukul 5.55 pagi waktu tempatan (6.55 waktu Malaysia) dan dikesan berpusat di dasar Lautan Hindi, kira-kira 37.6 kilometer di selatan Yogjakarta.

Saya habiskan membaca dan membelek gambar-gambar kejadian, saya berdoa dalam hati, “Ya Allah ya tuhan ku sesungguhnya engkau maha berkuasa. Selamatkan bumi bertuah, bumi melayu ini dari segala bencana” Amin.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home