Thursday, October 12, 2006

SKIM PELUANG KEDUA PENDIDIKAN PUTERA UMNO TERUS MENDAPAT SAMBUTAN






KUANTAN 22 Sept. – Putera UMNO memperkenalkan program Skim Peluang Kedua Pendidikan dan Kerjaya bertujuan untuk memberi peluang pendidikan vokasional kepada anak-anak muda yang tercicir atau gagal melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, program yang dianjurkan dengan kerjasama beberapa kolej itu setakat ini telah berjaya menempatkan hampir 2,000 pelajar untuk mengikuti kursus- kursus dalam pelbagai bidang termasuk perhotelan, automotif dan paramedik.

‘‘Sasaran kami, menjelang tahun 2008, kita akan dapat memberikan latihan kepada 30,000 anak-anak kita yang tercicir,” katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara IKIP Trading Sdn. Bhd. dan Putera UMNO.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Beserah, Datuk Faizal Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif IKIP Trading Sdn. Bhd., Dr. Azman Ahmad Shah dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Abdul Hamid Nazahar.

Tambah beliau, pelajar-pelajar yang dipilih untuk mengikuti skim berkenaan dikesan melalui bantuan ketua-ketua pemuda UMNO seluruh negara dan setakat ini sudah empat bahagian iaitu Baling, Kedah, Sandakan, Sabah, Bayan Baru, Pulau Pinang dan Kuantan terbabit dalam program itu.

‘‘Program ini umpama serampang dua mata kepada Putera UMNO kerana ia secara tidak langsung dapat menambah bilangan keahlian Putera UMNO.

‘‘Selain itu, masalah gejala sosial seperti dadah, bohsia dan ‘mat rempit’ dapat dikurangkan dengan wujudnya skim ini kerana setiap masa terluang oleh golongan muda ini ditumpukan untuk menimba ilmu pengetahuan lantas dengan sendirinya masalah lepak dan peleseran dapat diatasi,” katanya.

Kata beliau, pelajar yang terpilih akan mengikuti pengajian selama setahun atau lebih bergantung kepada kursus yang dipilih.

Jelasnya, pembiayaan bagi program itu diperoleh melalui beberapa punca termasuk Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran, Kementerian Belia dan Sukan, yayasan negeri dan Perbadanan Sumber Manusia Berhad.

Katanya, setakat ini sebanyak 15 kolej telah tampil untuk berkerjasama dengan Putera UMNO bagi mengendalikan skim berkenaan.

Mengulas mengenai MoU hari ini, beliau berkata, seramai 380 pelajar akan mengikuti kursus perhotelan dengan Kolej IKIP dan jumlah itu akan dipertingkatkan sehingga menjadi 1,000 orang menjelang hujung tahun ini.

1 Comments:

At 9:10 PM, Blogger ebru said...


Model ve manken gibi escort kızlarla sohbet hatları sayesinde iletişim kurabilirsiniz.

 

Post a Comment

<< Home