Monday, September 25, 2006

TERSERAH KEPADA POLIS LULUS PERHIMPUNAN 'MAT REMPIT'

BINCANG : Dato Abdul Azeez Abd Rahim ketika mengadakan perbincangan dengan pihak polis yang mengiringi Ekspedisi Bermotor Putera UMNO Kuala Lumpur - Teluk Batik baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 15 Sept. – Putera UMNO akan menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat keputusan sama ada akan meluluskan cadangan program perhimpunan 50,000 ‘mat rempit’ di Bukit Jalil November ini atau sebaliknya.

Keputusan tersebut dibuat ekoran laporan pihak polis yang mendakwa Putera UMNO gagal mengawal tingkah laku 8,000 orang ‘mat rempit’ ketika menyertai Ekspedisi Merdeka Putera UMNO Kuala Lumpur - Teluk Batik pada 9 hingga 10 September lalu.

Pengerusi Biro Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim memberitahu, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas daripada pihak polis berhubung perkara itu.

Bagaimanapun katanya, program yang diadakan di antara Putera UMNO bersama-sama ‘mat rempit’ bertujuan mendidik golongan itu ke arah yang lebih positif.

Katanya, walaupun terdapat sedikit masalah ketika ekspedisi itu berlangsung, ia hanya melibatkan perkara yang kecil sahaja.

Namun beliau memberitahu apa yang menyedihkan ialah program tersebut di salah anggap oleh sesetengah pihak mengenai matlamat sebenar program itu.

‘‘Jika polis tidak bersetuju dengan cadangan perhimpunan ini, maka kita akan akur kepada undang-undang,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pegawai Perhubungan Trafik, Bukit Aman, Asisten Supritendan Ismail Munajat dalam sebuah akhbar tempatan semalam bahawa polis tidak akan bersetuju dengan program perhimpunan 50,000 orang ‘mat rempit’ yang dianjurkan oleh Putera UMNO.

Ini kerana polis mendakwa, sekiranya 8,000 ‘mat rempit’ gagal dikawal pergerakan mereka adalah mustahil bagi Putera UMNO untuk mengawal 50,000 orang ‘mat rempit’ pada perhimpunan itu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home