Monday, September 25, 2006

50,000 'MAT REMPIT' BERHIMPUN DI BUKIT JALIL

PENGERUSI PUTERA : Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi di jadual akan merasmikan Karnival Motor Putera di Bukit Jalil November ini


LUMUT 10 Sept. – Satu perhimpunan membabitkan 50,000 ‘mat rempit’ seluruh negara akan diadakan di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dari 10 hingga 12 November ini.

Pengerusi Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijadual merasmikan perhimpunan tersebut yang merupakan acara kemuncak Karnival Bermotor Putera UMNO 2006.

‘‘Perdana Menteri akan memberi amanat kepada ‘mat-mat rempit’ tersebut agar mereka menjadi generasi yang lebih berguna dan berwawasan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas upacara penutupan Karnival Bermotor Putera UMN0 di Teluk Batik di sini.

Upacara penutupan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains Teknologi dan Sumber Manusia, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir.

Serentak itu, Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor melancarkan Kelab Bermotor Perak.

Kira-kira 8,000 ‘mat rempit’ dari Lembah Klang, Perak, Kedah dan Pulau Pinang berkumpul di pusat peranginan terkenal Perak itu sejak semalam.

Selain berkonvoi dari Dataran Merdeka ke Teluk Batik, mereka juga diberikan ceramah motivasi, seminar keselamatan jalan raya serta melakukan aktiviti kemasyarakatan dan gotong-royong.

Antara aktiviti gotong-royong yang dilakukan termasuk membersihkan surau, masjid, sekolah, rumah orang miskin dan tadika.

Abdul Azeez berkata, beliau percaya program tersebut berjaya menyedarkan ‘mat-mat rempit’ yang majoritinya Melayu tentang tanggungjawab dan peranan mereka sebagai aset negara.

‘‘Kita kena ubah pendekatan untuk tangani masalah mat rempit ini, saya percaya mereka sebenarnya dahagakan kepimpinan.

‘‘Jika terima cara kepimpinan yang betul, Insya-Allah potensi mereka dapat digunakan dalam saluran yang betul, bermula dari sekarang saya tidak mahu menoleh lagi ke belakang, saya akan terus bersama mereka,” katanya.

Beliau berkata selepas ini kumpulan yang sama akan terlibat dalam program berbuka puasa pada Ramadan ini dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

‘‘Saya juga merancang untuk menganjurkan majlis Hari Raya Aidilfitri khusus untuk ‘mat-mat’ rempit supaya mereka dapat berkumpul beramai-ramai dan berkongsi kegembiraan bersama-sama,’’ katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home