Monday, September 25, 2006

PROGRAM DIDIK 'MAT REMPIT' HARUS BERPERINGKAT



TUJUAN murni Putera UMNO mendekati golongan mat rempit adalah satu usaha yang amat baik walaupun menimbulkan sedikit kontroversi. Sesungguhnya belum ada usaha seumpama itu dilakukan oleh mana-mana pertubuhan bukan kerajaan atau badan kerajaan bagi mendekati golongan ini secara holistik. Masyarakat sedia maklum bahawa golongan mat rempit ini sering menimbulkan masalah sosial dan mengganggu ketenteraman awam.

Oleh yang demikian hasrat Putera UMNO untuk mendekati golongan ini sangat-sangat dialu-alukan. Namun begitu adakah menghimpunkan sejumlah besar mat rempit ini merupakan satu langkah terbaik untuk menyedarkan kumpulan ini.

align="justify">Alasan Polis Diraja Malaysia juga perlu diambil kira dalam pelaksanaan program seperti ini. Kawalan ketat serta tindakan undang-undang dilihat tidak mampu membawa perubahan kepada mat-mat rempit, justeru idea untuk menghimpunkan mereka supaya dapat diberi nasihat sedikit sebanyak menimbulkan tanda tanya.

Sesungguhnya niat yang baik itu hendaklah dilaksanakan dengan perancangan dan kawalan kerana jika keadaan sebaliknya kemungkinan besar akan menimbulkan kesan yang negatif kepada banyak pihak.
Justeru hasrat untuk menghimpunkan sejumlah 50,000 mat rempit seolah-olah memberikan satu lesen besar kepada golongan ini untuk berpesta walaupun sebenarnya niat baik Putera UMNO untuk mendidik mereka dalam satu perjumpaan.

Kemungkinan yang akan timbul dan perlu difikirkan iaitu kemungkinan mereka sukar dikawal, berlaku vandalisme dan pergaduhan antara kumpulan, kecurian serta lain-lain aktiviti yang tidak kita jangkakan.

Pengalaman kami sewaktu menganjurkan Konvoi Kembara Merdeka PROSTAR di daerah ini pada 31 Ogos lalu sedikit sebanyak memberikan pengajaran dan pengalaman yang positif. Program yang mendapat sokongan Putera UMNO, Pergerakan Pemuda UMNO dan Menteri Besar Kedah itu telah membuahkan kejayaan walaupun bilangan penyertaan agak terhad. Taklimat secara jelas diberikan oleh PDRM selain ia diawasi sepenuhnya dari mula hingga ke akhir.

Selain itu konvoi hanya disertai peserta lelaki sahaja. Aktiviti gotong-royong di masjid selain solat berjemaah dapat dilakukan dengan terancang dan terkawal. Apa yang ingin dikongsi ialah bukan jumlah penyertaan yang ramai patut menjadi keutamaan Putera UMNO tetapi keberkesanan dan pengisian program yang tersusun dapat membantu mencapai objektif yang ingin dicapai.

Putera UMNO perlu menilai semula hasrat untuk mengadakan perhimpunan itu jika aspek kawalan dan keselamatan belum dapat dipastikan keberkesanannya.

Sedangkan program seperti PLKN dalam kem terkawal pun mempunyai masalah yang sukar dijangkakan apatah lagi jika program terbuka dan melibatkan penyertaan yang begitu ramai. Adalah lebih berkesan jika Putera UMNO mengadakan program tersebut secara berperingkat bermula di peringkat daerah dan seterusnya negeri.

Program di peringkat daerah dikhususkan kepada 100 mat rempit tegar dan seterusnya seramai 50 orang dibawa ke peringkat negeri untuk program susulan. Berikan mereka bengkel dan seminar sehari dua yang melibatkan pelbagai jabatan di bawah PDRM serta agensi seperti Agensi Dadah Kebangsaan.


Libatkan sama pelumba handalan di litar untuk mereka berkongsi pengalaman dan kesedaran untuk berubah menjadi lebih baik. Setelah itu, para mat rempit ini dijadikan sebagai tenaga utama dan penggerak untuk memberikan kesedaran kepada rakan-rakan di kawasan masing-masing. Walaupun jumlah penyertaan agak kecil tetapi kita dapat membuat pengisian secara berfokus dan terancang selain memudahkan hasrat yang diingini tercapai.

Semoga Putera UMNO mencari kaedah terbaik agar hasrat murni ini boleh direalisasikan menerusi program yang lebih tersusun dan terancang agar ia dapat dimanfaatkan oleh golongan mat rempit ini.

– LUKMAN MOIDIN,
Pengerusi Kelab PROSTAR
Daerah Padang Terap,
Kuala Nerang, Kedah.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home