Monday, September 25, 2006

PERHIMPUNAN 'MAT REMPIT' PERLU PERMIT


KUALA LUMPUR 17 Sept. – Polis menyarankan agar penganjur program perhimpunan 50,000 mat rempit di Bukit Jalil November ini memohon permit polis terlebih dahulu daripada Ketua Polis Daerah yang berkenaan.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) Bukit Aman, Datuk Mustafa Abdullah berkata, selain itu, pihak terbabit perlu menjelaskan tujuan dan perjalanan program berkenaan dalam permohonan mereka.

Menurutnya, daripada permohonan itu polis akan mengkaji dan meneliti program terbabit bagi memastikan ia selamat dilaksanakan.

‘‘Polis tiada masalah berhubung program berkenaan tetapi pihak terbabit kena mohon permit dulu daripada Ketua Polis Daerah.

‘‘Ini kerana kita tidak mahu timbul sebarang masalah dan keselamatan tidak terjamin sewaktu program itu berlangsung,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Mustafa berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang menyebut, pertubuhan itu akan menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat keputusan berhubung cadangan program perhimpunan 50,000 mat rempit di Bukit Jalil.

Menurut Abdul Azeez, program yang diadakan di antara Putera UMNO dan mat rempit bertujuan mendidik golongan itu ke arah yang lebih positif.

Mustafa berkata, mana-mana pihak yang mahu mengadakan perhimpunan atau perarakan perlu mengikut prosedur yang ditetapkan dengan memohon permit.

Katanya, selepas meneliti permohonan permit baru keputusan boleh dilakukan sama ada ia diluluskan atau sebaliknya kerana setiap kelulusan permit adalah di bawah kuasa Ketua Polis Daerah.

‘‘Bagi saya, hasrat program itu adalah murni tetapi paling utama keselamatan juga perlu dijamin,’’ ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Hasnan Hassan ketika dihubungi hari ini memberitahu, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang permohonan mengenai program tersebut.

‘‘Kita belum menerima sebarang permohonan permit berhubung program itu dan perkara tersebut diketahui hanya menerusi akhbar sahaja.

‘‘Kita perlu meneliti dahulu sebarang program sebelum permit dikeluarkan,’’ katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home