Tuesday, August 15, 2006

KHAIRY RASMI PEMUDA BALING


Khairy dedah nama orang ‘cucuk’ Dr. M
BALING 11 Ogos – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin secara terbuka menuduh Datuk Ibrahim Ali dan Peguam Matthias Chang sebagai pihak yang ‘mencucuk’ Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyerang kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurutnya, Pengerusi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) itu dan Matthias suka menghasut serta melemparkan kritikan yang tidak berasas kepada kepimpinan negara.

“Inilah orang yang cuba mengeruhkan keadaan dan bukannya Tun Dr. Mahathir,” katanya.

Khairy mendedahkan perkara itu kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Baling di Komplek Rakan Muda, di sini hari ini.

Katanya, beliau telah mendengar apa yang disebut oleh Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Mohamad Taib sebelum ini mengenai ada percubaan untuk menghasut oleh pihak-pihak ini termasuk memburuk-burukkan kepimpinan Abdullah.

Menurutnya, mungkin niat Dr. Mahathir ikhlas iaitu mahu melihat negara lebih maju dengan mengutarakan beberapa soalan tetapi orang-orang di sekelilingnya telah mencucuk bekas Perdana Menteri itu.

Khairy berkata, Ibrahim mempunyai rekod menentang kepimpinan parti, malah pernah dipecat daripada parti.

Sementara Mattias Chang pula yang juga bekas Setiausaha Politik Dr. Mahathir, katanya, sering menggunakan sidang akhbar untuk menghentam kepimpinan negara termasuk mengecam kepimpinan Pemuda UMNO.

“Inilah orang yang cucuk Tun Dr. Mahathir untuk mempertikaikan kepimpinan Perdana Menteri,” tegasnya.

Katanya, beliau mahukan semua ahli pemuda di seluruh negara mendapat maklumat sejelas-jelasnya mengenai tindakan pihak-pihak tersebut memburukkan kepimpinan Perdana Menteri.

“Pemuda UMNO tidak akan membenarkan mana-mana pihak mengambil kesempatan memporak perandakan kepimpinan parti, kalau ada anasir-anasir kita akan tentang habis-habisan,” katanya.

Tegasnya, Pemuda perlu berani untuk terus mempertahankan Presiden UMNO serta kerajaan dari tohmahan dan fitnah yang tidak berasas.

“Kita perlu berani mempertahankan Presiden yang juga Perdana Menteri yang mahu membawa kebenaran supaya UMNO dan kerajaan akan terus menjadi kuat dan kukuh,” ujarnya.
(Utusan Malaysia)

Untuk melihat gambar-gambar sekitar majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Baling, Layari...http://pemudabaling.blogspot.com

0 Comments:

Post a Comment

<< Home