PUTERA LATIH AHLI JADI SUKARELAWAN
BALING 19 Feb. - Putera UMNO mahu menjadikan ahlinya mahir sebagai sukarelawan kemasyarakatan termasuk di peringkat antarabangsa. Malah Putera UMNO juga bersiap sedia melatih ahli-ahlinya berkhidmat hingga ke negara-negara yang dilanda krisis dan bencana.
Pengerusinya, Datuk Azeez Abd. Rahim berkata, untuk itu Putera UMNO akan memperkenalkan kursus modal insan bagi melahirkan generasi pelapis berkualiti mulai Mac depan.
``Kita akan mengambil anak muda untuk mengikuti kursus berasaskan modal insan bagi membentuk remaja berkualiti,'' katanya.
Beliau ditemui pada majlis gotong-royong mengacau bubur asyura bersama penduduk di 10 buah kampung mukim Siong di Pekan Weng dekat sini hari ini. Sebanyak 2,000 bungkus bubur asyura diagih-agihkan kepada penduduk kampung terbabit.
Menurutnya, kursus secara berperingkat di semua negeri itu melibatkan remaja berusia 18 hingga 25 tahun.
Katanya, melalui kursus tersebut Putera UMNO akan mendedahkan remaja terbabit dengan asas sukarelawan, ketahanan mental dan fizikal, kemahiran, komunikasi dan ikhtiar hidup.
Menurutnya, Putera UMNO mahu melaksanakan kursus modal insan supaya hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahukan Putera UMNO melahirkan generasi berkualiti dan bukan sekadar kuantiti.
Azeez menambah, buat permulaan kursus itu akan melibatkan remaja dari Kedah, Perak, Perlis dan Pulau Pinang sebelum diteruskan ke negeri -negeri lain. Jelasnya, pemilihan peserta tidak akan mengambil kira kelayakan akademik.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home