Tuesday, May 23, 2006

PUTERA UMNO KEMPEN BACA JAWI

BALING 1 Mei - Putera UMNO mengambil langkah agresif memperkenalkan akhbar tulisan jawi, Utusan Melayu Mingguan pada setiap program yang disertai ahlinya termasuk membantu pelajar sekolah dan universiti di seluruh negara.
Malah Putera akan turut memfokuskan 200,000 ahlinya di seluruh negara supaya digerakkan menjadi generasi yang celik jawi.

Pengerusinya, Datuk Abd. Azeez Rahim berkata, Putera rasa terpanggil untuk membawa ahli Putera kepada satu dimensi baru menggalakkan ahlinya mencintai akhbar jawi yang menjadi wadah bangsa Melayu suatu ketika dulu.

Menurutnya, Putera akan menjelajah ke seluruh 12 negeri bagi membantu, membimbing pelajar sekolah dan universiti supaya memilih akhbar jawi Utusan Melayu sebagai bahan bacaan sekali gus mendidik mereka mencintai tulisan jawi yang hampir dipinggirkan.

``Putera akan jelajah seluruh negara untuk mempromosikan akhbar Utusan Melayu Mingguan supaya lebih ramai pelajar sekolah, universiti serta ahli belia berminat dengan satu-satunya akhbar yang menjadi pencetus agenda Melayu suatu ketika dulu,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas memperkenalkan akhbar Utusan Melayu Mingguan pada Program Belia Benci Dadah dan Bakti Siswa pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sekolah Kebangsaan Dalam Wang dekat sini hari ini.
Seramai 43 pelajar UUM menyertai program selama tujuh hari itu. Hadir sama, Penolong Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Baling, Mohd. Faiz Hashim.

Tambah Abd. Azeez, langkah ini diambil berikutan masih ramai di kalangan pelajar sekolah, universiti dan belia tidak tahu membaca jawi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home