Monday, February 12, 2007

PUTERA BERKAMPONG DI BATU TALAM


Berita kematian ADUN Batu Talam, Allahyarham Datuk Tengku Paris Tengku Razlan di iringi dengan Al-Fatihah, semoga rohnya di cucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

Namun, hidup ini mesti diteruskan. Tempat yang ditinggalkan oleh beliau harus diganti melalui satu pilihanraya kecil. Jasa dan bakti beliau selama bergelar ADUN Batu Talam dengan lambang Barisan Nasional terus diingati dan disanjung tinggi.

Seawall 13 Januari 2007, sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 Januari sebagai hari penamaan calon dan 28 Januari sebagai hari pembuangan undi, Putera UMNO sudah mula berada di Batu Talam.

Pada pilihan raya umum 2004, Tengku Paris menang selepas mendapat 5,414 undi menewaskan calon Pas Dr. Mohamed Nilam Abdul Manap yang meraih 2,653 undi. Tengku Paris memperoleh kelebihan undi 2,761 undi.

Putera UMNO dengan di ketuai oleh Pengerusinya Dato’ Abdul Azeez Abdul Rahim bersama kekuatan 500 sukarelawan dan dari seluruh negara dengan dibantu oleh 500 lagi tenaga sukarelawan Putera Pahang, terus berkampong dan menyusun stategi bagi memastikan kerusi Batu Talam terus kekal di tangan calon Barisan Nasional.

Ikuti catitan Putera UMNO di Batu Talam di laman…http://batutalam.blogspot.com

10 PUTERA UMNO AKAN KE KUTUB UTARA



Misi terjun bebas beri peluang generasi muda harumkan nama negara

KAJANG: Seramai 10 ahli Putera Umno bakal mencatatkan sejarah melakukan terjunan bebas di Kutub Utara pada April depan bagi membuktikan belia negara mampu menyahut cabaran seperti belia seusia mereka dari negara lain.

Pada masa ini seramai 100 ahli dipilih menjalani latihan secara berperingkat sebelum pemilihan terakhir 10 peserta yang akan membuat penerjunan pada 19 April.

Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata antara lain, misi itu bertujuan mendidik anak muda untuk menyumbangkan sesuatu bagi mengharumkan nama negara.

“Misi julung kali ini membabitkan belia berusia 18 hingga 25 tahun dan inilah peluang untuk mereka menunjukkan kemampuan membawa nama negara pada peringkat antarabangsa.

“Generasi muda penting bagi pembangunan modal insan dan masa depan mereka perlu dibela supaya menyedari tanggungjawab yang bakal digalas demi memartabatkan negara,” katanya selepas taklimat Ekspedisi Terjun Bebas Kutub Utara Putera Umno Malaysia 2007, di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Sukan Udara Malaysia (Persuma), Datuk Abdul Rahim Dahalan yang akan mengetuai misi itu.

Abdul Azeez berkata, melalui latihan fasa pertama penerjunan statik di Padang Golf Segamat, peserta akan dinilai melalui dua terjunan pada ketinggian 4,000 kaki sebelum jumlah mereka dikurangkan kepada 24 peserta.

“Bagi fasa kedua di tempat yang sama, latihan akan lebih mencabar dengan peserta perlu melakukan lima penerjunan statik dan lima terjunan bebas sebelum disenarai pendek kepada 10 peserta yang akan menjayakan misi itu,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang terpilih akan diberikan latihan intensif bagi persediaan mental dan fizikal serta diwajibkan melakukan tidak kurang 70 penerjunan bebas bagi memenuhi syarat yang ditetapkan.

Katanya, pihaknya juga akan membawa lima penerjun simpanan sebagai sokongan jika sesuatu berlaku kepada penerjun yang terpilih.

Sementara itu, peserta yang ditemui tidak sabar untuk mengikuti latihan tetapi tidak menafikan sedikit gementar untuk melakukan penerjunan.

Abdus Salam Syed Mustafa, 20, berkata, keinginan untuk mencuba sangat tinggi, namun akan sentiasa berhati-hati dan mendengar setiap penerangan bagi mengelakkan perkara buruk berlaku.

Khairul Muzammir Isa, 19, pula berkata, peluang itu hanya sekali seumur hidup dan tidak mahu melepaskannya. (Berita Harian)