Thursday, November 30, 2006

PUTERA UMNO KE KUTUB UTARA TAHUN HADAPAN

Dato' Seri Mohd Najib ketika meninjau pertunjukan udara sempena Karnival Udara KL06 di Terminal 3 Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Subang


Dato Abdul Azeez bersama Dato Abdul Rahim Dahlan (dua dari kanan) yang lebih dikenali dengan panggilan 'Rahim King' ketika sidang akhbar mengenai pembentukan pasukan payung terjun Putera UMNO



Putera UMNO melangkah setapak lagi bilamana akan bekerjasama dengan Persekutuan Sukan Udara Malaysia bagi membentuk satu pasukan payung terjun yang terdiri daripada ahli-ahli Putera UMNO.

Pengerusi Putera UMNO Dato’ Abdul Azeez Abd Rahim menjelaskan bahawa pada dasarnya Putera UMNO bersetuju untuk bekerjasama dengan Persekutuan Sukan Udara Malaysia bagi membentuk satu pasukan payung terjun yang terdiri dari ahli-ahli Putera UMNO.

Katanya, langkah ini sebagai memberi peluang dan pilihan kepada ahli-ahli Putera UMNO yang meminati sukan lasak terutama sukan payung terjun untuk menceburi bidang ini. Beliau menyatakan demikian ketika turut serta di dalam pertunjukan udara sempena Karnival Udara KL 06 yang diadakan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Terminal 3) Subang.

“Putera UMNO akan mengenalpasti 10 orang ahli Putera yang layak untuk dilatih oleh Persekutuan Sukan Udara Malaysia.

“Matlamat pasukan ini adalah untuk terjun di Kutub Utara selewat-lewatnya April 2007” katanya

Sementara itu orang yang akan bertanggongjawab memilih dan melatih skuad paying terjun Putera ini, Dato’ Abdul Rahim Dahlan dari Persekutuan Sukan Udara Malaysia menjelaskan bahawa, pemilihan ahli-ahli Putera UMNO adalah pendekatan Persekutuan Sukan untuk membentuk pasukan pelapih dari kalangan remaja Malaysia.

Katanya, Putera UMNO adalah ruang yang terbaik kerana mereka sedia mempunyai ahli yang ramai dari seluruh negara.

“Masakan kita tidak boleh mencari 10 orang yang betul-betul layak dan bersemangat tinggi, mempunyai kekuatan metal dan fizikal dari kalangan 270,000 ahli-ahli Putera UMNO seluruh negara” tegasnya
Karnival Sukan Udara KL06 tersebut dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak

Friday, November 24, 2006

Sunday, November 19, 2006

PUTERA AJAK PUTERI UMNO DEKATI MINAH REMPIT



KUALA LUMPUR 15 Nov. -- Putera UMNO hari ini mengajak Puteri bersama-sama menggembleng tenaga bagi mendekati minah rempit.

Pengerusi Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, Puteri UMNO jangan hanya bercakap di luar gelanggang dengan mencadangkan mat rempit dihukum sebat, sebaliknya sama-sama turun gelanggang mendekati minah rempit.

``Kalau Putera mendekati mat rempit, marilah Puteri mendekati minah rempit. Jangan bercakap di luar gelanggang, tampil ke hadapan bersama-sama Putera membanteras (kegiatan mat dan minah rempit),'' katanya kepada Utusan Malaysia pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau diminta mengulas saranan Puteri UMNO semalam supaya pesalah yang terlibat dengan aktiviti lumba haram yang dikenali sebagai mat rempit dihukum sebat, denda atau hukuman penjara mandatori.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad yang membangkitkan cadangan itu ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung pergerakan tersebut berkata, hukuman tegas itu perlu dipertimbangkan agar gejala terbabit dapat dibanteras.

Ini kerana, gejala itu turut mengheret kelompok remaja wanita dengan mempertaruhkan mereka sebagai umpan dan habuan kepada kegiatan yang tidak bermoral itu.

Mengulas lanjut, Abdul Azeez berkata, beliau mengalu-alukan pandangan daripada mana-mana pihak mengenai kegiatan mat rempit yang kini telah didekati oleh pergerakan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, pihak yang melontarkan pandangan itu perlulah menghalusi permasalahan yang berlaku sebelum sebarang tindakan atau hukuman boleh diambil untuk menanganinya.

``Saya yakin dan percaya anak-anak muda ini seperti kain putih. Mereka tidak ada hala tuju. Selama ini tidak ada mana-mana pihak mendekati mereka. Hari ini, Putera sudah mendekati mereka.

``Apabila Putera mendekati mereka, Puteri patut tampil ke hadapan bukannya mengkritik. Tampil ke hadapan bersama-sama Putera merealisasikan hasrat Wawasan 2020 kerana putera dan puteri yang menjadi harapan bangsa,'' katanya.

Putera UMNO sebelum ini bercadang untuk mengadakan perhimpunan 50,000 mat rempit di Bukit Jalil.

Perhimpunan itu dijadualkan pada bulan ini, bagaimanapun ditunda ke awal tahun hadapan setelah mengambil kira pandangan dan kritikan pelbagai pihak, termasuk polis.

GERAI PUTERA UMNO JADI TUMPUAN

Petugas Putera UMNO sibuk melayan mereka yang singgah di gerai Putera UMNO


Ada yang singgah sekadar bertanya khabar ada juga yang mengambil kesempatan membeli berbagai cenderamata yang di jual oleh Putera UMNO sebagai satu kaedah mengisi tabung aktiviti Putera UMNO

Saudara Wan, seorang petugas Putera UMNO mengedar berbagai risalah tentang Putera UMNO kepada mereka yang lalu lalang dan singgah di gerai Putera UMNO

Dato Noh Omar, Timbalan Menteri Pelajaran, Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang menandatangani buku pelawat di gerai Putera

Tan Sri Ramli Ngah Talib Yang Dipertua Dewan Rakyat menurunkan tanda tangan di poster gergasi Putera UMNO sebagai tanda sokongan kepada Putera UMNO

Dato Seri Jamaluddin Jarjis Menteri Sains, Teknologi & Inovasi, Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ahli Parlimen Rompin, tidak ketinggalan turut singgah di gerai Putera

Satu ketiga gerai Putera UMNO diserbu oleh orang ramai yang terdiri dari pemerhati dan perwakilan UMNO yang hadir di Perhimpunan Agung UMNO kali ini

Naib Presiden UMNO yang juga Ketua Menteri Melaka, Dato Seri Mohd Ali Rostam antara tetamu yang sempat singgah dan bertanya khabar tentang perkembangan Putera UMNO

SEPANJANG berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO dari 13 hingga 17 November 2006 “booth” Putera UMNO yang terletak di Pelantar Putera Aras 1 Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menjadi tumpuan perwakilan, pemerhati dan orang ramai yang menghadiri perhimpunan agung UMNO kali ini.

Seperti biasa ‘booth’ Putera UMNO di wujudkan sebagai bukti kehadiran Putera UMNO mesti dirasai oleh ahli-ahli Umno dan orang ramai. Ini penting kerana Putera Umno yang baru diwujudkan sebagai satu gerakan baru dalam Pemuda harus dilihat di mana-mana sebagai jalan terbaik untuk mendekati golongan muda dalam Umno.

Selain daripada mempamerkan berbagai aktiviti Putera sebelum ini kesempatan sempena Perhimpunan Agung Umno digunakan oleh petugas-petugas Putera Umno untuk menjelaskan apa sahaja tentang Putera Umno.

BULETIN PUTERA UMNO DILANCAR DEKATI GOLONGAN MUDA

Dato Hishamuddin, Saudara Khairy Jamaluddin dan Dato Azeez, meneliti kandungan sulong Buletin Putera UMNO


Sebahagian daripada ahli-ahli Putera UMNO yang hadir di majlis pelancaran tersebut bangga sambil memegang naskah Buletin Putera UMNO

Seorang ahli Putera UMNO menatang Buletin Putera yang dibaluti dengan bendera Sang Saka Bangsa dipersembahkan kepada Dato Hishammuddin untuk dilancarkan.

Penampilan wajah sulong Buleting Putera UMNO. Menurut Pengerusi Putera UMNO Dato Abdul Azeez Abd Rahim, Buletin Putera ini akan diterbitkan setiap tiga bulan sekali sebagai wadah memuatkan berita dan akativiti Putera UMNO


KUALA LUMPUR 16 Nov. -- Putera UMNO hari ini melancarkan buletin pertamanya yang memaparkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh biro tersebut sebagai salah satu usaha dan tanggungjawab untuk mendekati lebih ramai golongan muda.

Pelancarannya disempurnakan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2006 di sini.

Hishammuddin berkata, selain menyampaikan maklumat mengenai aktiviti Putera UMNO, pengedaran buletin tersebut secara meluas mampu menarik minat golongan muda untuk menyertai UMNO.

``Kewujudan buletin ini adalah tepat pada masanya kerana penting untuk orang ramai mengetahui apa yang dilakukan Putera UMNO selama ini dan perancangannya pada masa depan.

``Ini merupakan usaha Putera UMNO untuk memperluas tanggungjawab dan objektif mereka dalam memperjuang UMNO,'' katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran itu.

Turut hadir ialah Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; Pengerusi Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim; dan exco-exco Pergerakan Pemuda UMNO.

Sementara itu, Abdul Azeez memberitahu, buletin setebal 24 muka surat itu akan diterbitkan setiap tiga bulan.

Menurutnya, ia akan diedarkan ke setiap 191 bahagian UMNO di seluruh negara.

``Paparan aktiviti-aktiviti yang dijalankan dalam buletin ini sedikit sebanyak akan menaikkan semangat ahli Putera UMNO untuk terus aktif kerana merasa setiap sumbangan yang mereka berikan dihargai.

``Penghargaan ini sekali gus dapat menarik minat belia lain untuk menyertai UMNO,'' katanya.