Monday, September 25, 2006

RUJUKAN 'MAT REMPIT' PERLU DITUKAR

YB. Datuk Dr. Zambri Abd Kadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Negeri Perak bersama Pengerusi Putera UMNO, Dato Abdul Azeez Abd Rahim dan sebahagian daripada anggota ekspedisi


LUMUT 10 Sept. – Rujukan mat rempit yang digunakan masyarakat ke atas remaja bermotor perlu ditukar bagi mencetuskan persepsi yang lebih baik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Dr. Zamry Abdul Kadir berkata, perkataan mat rempit menimbulkan rasa kurang senang di kalangan banyak pihak termasuk penunggang itu sendiri.

‘‘Saya lebih setuju kalau kita tukar rempit kepada r, (rohani) e (emosi), m (material), p (peraturan) i (ilmu) dan t (teknologi).

‘‘Setiap perkataan itu membawa makna yang cukup baik untuk dihayati oleh anak-anak muda dan perkara ini juga disenangi oleh golongan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan program dan pelancaran Kelab Bermotor Putera UMNO Perak, di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut kira-kira 8,000 mat rempit berkumpul di Teluk Batik untuk menyertai pelbagai program kemasyarakatan yang diaturkan oleh Putera UMNO.

Zambry menambah, puluhan ribu mat rempit di seluruh negara merupakan aset negara dan mereka memerlukan sokongan keluarga dan masyarakat untuk menikmati kehidupan lebih sempurna.

‘‘Mat-mat rempit ini merupakan bunga bangsa yang cukup berbakat dan kreatif, justeru semua pihak terutamanya media perlu memainkan peranan dalam membantu membimbing mereka,’’ katanya.

Menurutnya, kebanyakan mat rempit berusia belasan tahun dan awal 20-an, dan masih boleh dibentuk ke arah kehidupan lebih bermakna.

50,000 'MAT REMPIT' BERHIMPUN DI BUKIT JALIL

PENGERUSI PUTERA : Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi di jadual akan merasmikan Karnival Motor Putera di Bukit Jalil November ini


LUMUT 10 Sept. – Satu perhimpunan membabitkan 50,000 ‘mat rempit’ seluruh negara akan diadakan di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dari 10 hingga 12 November ini.

Pengerusi Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijadual merasmikan perhimpunan tersebut yang merupakan acara kemuncak Karnival Bermotor Putera UMNO 2006.

‘‘Perdana Menteri akan memberi amanat kepada ‘mat-mat rempit’ tersebut agar mereka menjadi generasi yang lebih berguna dan berwawasan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas upacara penutupan Karnival Bermotor Putera UMN0 di Teluk Batik di sini.

Upacara penutupan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains Teknologi dan Sumber Manusia, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir.

Serentak itu, Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor melancarkan Kelab Bermotor Perak.

Kira-kira 8,000 ‘mat rempit’ dari Lembah Klang, Perak, Kedah dan Pulau Pinang berkumpul di pusat peranginan terkenal Perak itu sejak semalam.

Selain berkonvoi dari Dataran Merdeka ke Teluk Batik, mereka juga diberikan ceramah motivasi, seminar keselamatan jalan raya serta melakukan aktiviti kemasyarakatan dan gotong-royong.

Antara aktiviti gotong-royong yang dilakukan termasuk membersihkan surau, masjid, sekolah, rumah orang miskin dan tadika.

Abdul Azeez berkata, beliau percaya program tersebut berjaya menyedarkan ‘mat-mat rempit’ yang majoritinya Melayu tentang tanggungjawab dan peranan mereka sebagai aset negara.

‘‘Kita kena ubah pendekatan untuk tangani masalah mat rempit ini, saya percaya mereka sebenarnya dahagakan kepimpinan.

‘‘Jika terima cara kepimpinan yang betul, Insya-Allah potensi mereka dapat digunakan dalam saluran yang betul, bermula dari sekarang saya tidak mahu menoleh lagi ke belakang, saya akan terus bersama mereka,” katanya.

Beliau berkata selepas ini kumpulan yang sama akan terlibat dalam program berbuka puasa pada Ramadan ini dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

‘‘Saya juga merancang untuk menganjurkan majlis Hari Raya Aidilfitri khusus untuk ‘mat-mat’ rempit supaya mereka dapat berkumpul beramai-ramai dan berkongsi kegembiraan bersama-sama,’’ katanya.

TERSERAH KEPADA POLIS LULUS PERHIMPUNAN 'MAT REMPIT'

BINCANG : Dato Abdul Azeez Abd Rahim ketika mengadakan perbincangan dengan pihak polis yang mengiringi Ekspedisi Bermotor Putera UMNO Kuala Lumpur - Teluk Batik baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 15 Sept. – Putera UMNO akan menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat keputusan sama ada akan meluluskan cadangan program perhimpunan 50,000 ‘mat rempit’ di Bukit Jalil November ini atau sebaliknya.

Keputusan tersebut dibuat ekoran laporan pihak polis yang mendakwa Putera UMNO gagal mengawal tingkah laku 8,000 orang ‘mat rempit’ ketika menyertai Ekspedisi Merdeka Putera UMNO Kuala Lumpur - Teluk Batik pada 9 hingga 10 September lalu.

Pengerusi Biro Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim memberitahu, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas daripada pihak polis berhubung perkara itu.

Bagaimanapun katanya, program yang diadakan di antara Putera UMNO bersama-sama ‘mat rempit’ bertujuan mendidik golongan itu ke arah yang lebih positif.

Katanya, walaupun terdapat sedikit masalah ketika ekspedisi itu berlangsung, ia hanya melibatkan perkara yang kecil sahaja.

Namun beliau memberitahu apa yang menyedihkan ialah program tersebut di salah anggap oleh sesetengah pihak mengenai matlamat sebenar program itu.

‘‘Jika polis tidak bersetuju dengan cadangan perhimpunan ini, maka kita akan akur kepada undang-undang,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pegawai Perhubungan Trafik, Bukit Aman, Asisten Supritendan Ismail Munajat dalam sebuah akhbar tempatan semalam bahawa polis tidak akan bersetuju dengan program perhimpunan 50,000 orang ‘mat rempit’ yang dianjurkan oleh Putera UMNO.

Ini kerana polis mendakwa, sekiranya 8,000 ‘mat rempit’ gagal dikawal pergerakan mereka adalah mustahil bagi Putera UMNO untuk mengawal 50,000 orang ‘mat rempit’ pada perhimpunan itu.

MAT REMPIT DAN KRISIS SOSIAL


Oleh: ZAMBRY ABD KADIR

ISU ‘mat rempit’ dan kerenah buruk mereka sering kali dipaparkan dalam media negara. Saban hari ada sahaja kes yang melibatkan mereka yang memeningkan masyarakat termasuk pihak polis. Dari kes perlumbaan haram, perbuatan jenayah, perilaku buruk yang tidak bermoral menjadi tajuk perbincangan semua.

Malah ada yang mengatakan bahawa `mat rempit’ membawa imej yang buruk kepada negara khususnya dalam sektor pelancongan. Malaysia dikatakan seolah-olah tidak mempunyai undang-undang sehinggakan `mat rempit’ menjadi seperti raja di jalan raya.

Aksi-aksi mereka yang mempertontonkan willy dan wilkang amat berbahaya sekali bukan sahaja kepada diri tetapi juga kepada pengguna-pengguna jalan raya. Saban malam khususnya pada malam minggu mereka mencetuskan suasana bingit yang teramat sehinggakan pihak polis sendiri hampir tidak dapat melakukan apa-apa.

Malah ada yang mengatakan bahawa jika fenomena ini tidak dibendung ia akan mewujudkan kelompok masyarakat “the Brownshirts” yang akan bertindak melakukan apa sahaja mengikut kemahuan sendiri dan tidak gentar dengan peraturan dan undang-undang. Akibatnya ada di kalangan mereka yang mengalami kecacatan kekal dan tidak kurang pula kehilangan nyawa.

Soalnya pernahkah kita bertanya siapakah sebenarnya mereka ini dan apakah gaya hidup mereka? Pernahkah masyarakat mengambil pendekatan yang lebih proaktif dan positif dalam menangani krisis sosial anak-anak muda yang semakin meningkat di negara ini?

Ia bukan sekadar berlaku di bandar-bandar besar tetapi di hampir setiap daerah dalam negara ini. Malah yang lebih membimbangkan ia turut berkembang di kawasan luar bandar dan kampung-kampung. Bilangan mereka bukan ratusan tetapi puluhan ribu.

Mereka yang terlibat ini terdiri daripada anak-anak muda yang berusia belasan tahun dan awal 20-an. Ada di kalangan mereka yang masih bersekolah, yang terkandas dalam pelajaran, dan ramai juga yang telah pun bekerja. Ia sudah berlaku sekian lama malah paling menyedihkan mereka adalah terdiri daripada anak-anak Melayu.

Apa yang menjadi polemik dan perbahasan masyarakat kita ialah bagaimana menghadapi krisis mat rempit ini? Ada yang mengusulkan pendekatan punitif, ada yang mencadangkan pendekatan pendidikan dan engagement. Pendekatan yang popular ialah punitif iaitu jangan memberi ruang kepada mat rempit ini dan pihak berkuasa perlu bertindak dengan lebih tegas.

Manakala pendekatan pendidikan dan engagement sering kali mengundang kontroversi. Ini disebabkan usaha mendekati kumpulan tegar ini perlukan kesungguhan, kesabaran melayani kerenah mereka, memahami pemikiran dan perasaan mereka, bercakap dalam bahasa mereka, dan membina keyakinan diri mereka. Akibatnya ada kalangan yang agak pesimis, sinis, dan kritikal dengan pendekatan ini.

Maka tidak hairanlah dengan apa yang dialami oleh Putera UMNO Malaysia baru-baru ini apabila mengambil pendekatan pendidikan dan engagement. Suatu perhimpunan besar-besaran melibatkan lebih daripada 8,000 ‘mat rempit’ seluruh Semenanjung diadakan di Teluk Batik telah mengundang pelbagai reaksi negatif daripada masyarakat.

Ada yang menuduh Putera UMNO menggunakan pendekatan murahan untuk membina kredibilitinya dengan menghimpunkan ‘mat-mat rempit’. Akibatnya mereka ini dikatakan telah menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat setempat dengan pelbagai tuduhan keruntuhan akhlak. Malah Putera UMNO dianggap membuang masa kerana memberikan nasihat kepada golongan yang bagaikan “mencurah air di daun keladi”.

Sebagai wakil rakyat yang mewakili kawasan DUN Pangkor di mana tapak perhimpunan ‘mat rempit’ di Teluk Batik itu terletak dalam kawasan saya, perasaan bercampur baur dan was-was turut menyelubungi diri saya. Saya bertanya apakah cara menghimpunkan ‘mat rempit’ ini adalah cara yang terbaik untuk mengubah imej mereka? Kenapa memilih Teluk Batik dan tidak tempat lain? Kenapa saya perlu menanggung beban yang tidak sewajarnya?

Tetapi setelah saya merenung jauh ke dalam diri, dan bertanya berkali-kali dalam hati, kenapa saya tidak berani untuk sama-sama memberi khidmat menyelamatkan anak-anak muda Melayu ini dari terus terjerumus ke lembah kedurjanaan. Kenapa ketika ramai asyik menghentam, tidak ada langsung suara untuk membantu usaha Putera UMNO ini?

Kenapa ketika ceramah-ceramah di mimbar masjid dan surau menceritakan tentang keruntuhan akhlak, tetapi tidak ada yang berani turun membetulkan golongan tegar ini? Kenapa ketika diuar-uarkan krisis akidah umat dan bilangan yang menukar agama, tetapi masih tidak ada usaha untuk menyelamatkan golongan yang mudah tergelincir seperti mereka ini? Kenapa kita pantas menempelak tetapi tidak pantas mengajak? Ke mana perginya slogan-slogan jurubicara umat dan jurudakwah?

Apabila mereka berhimpun di Teluk Batik, saya tidak dapat bayangkan begitu ramai ‘mat rempit’ dalam negara kita. Menurut Datuk Abdul Azeez Abd. Rahim, Pengerusi Putera UMNO, sebenarnya bilangan mereka jauh lebih besar daripada apa yang disaksikan di Teluk Batik.

Mereka ini adalah modal insan yang sangat berharga sekiranya didekati, dibimbing, dipupuk dengan nilai dan akhlak yang mulia. Bayangkanlah di tengah-tengah kelibat berpeleseran mereka, rupa-rupanya ada seorang daripada mereka yang dipanggil “Otai” memiliki lebih daripada 250 rangkaian menjual burger di Lembah Klang. Malah ada di kalangan mereka yang inovatif dengan mengubahsuai kuasa kuda motosikal masing-masing. Mereka tidak belajar secara formal, tetapi melalui laman-laman web. Malah yang agak menarik mereka turut sama menggembleng tenaga memberi khidmat masyarakat dengan mencuci kawasan sekolah, mengecat bangunan tadika, membina rumah orang miskin dan sebagainya.

Saya fikir kita perlu ada kepedulian sosial dalam menghadapi masalah ‘mat rempit’ ini. Mereka adalah suatu fenomena baru dan kelompok baru yang sedang bersarang dalam masyarakat kita. Ia adalah realiti baru yang sedang kita hadapi. Kelompok ini mempunyai jaringan tersendiri. Mereka turut mempunyai keupayaan ekonomi dengan memiliki motosikal (termasuk motosikal yang dibeli oleh ibu bapa) dan memiliki gaya hidup baru.

Hubungan antara mereka sangat akrab. Mereka merasakan kehidupan yang lebih bermakna apabila berada di kalangan mereka. Pada pandangan mereka sikap masyarakat di luar lingkungan mereka yang memandang jijik dan sinis terhadap mereka menjadikan mereka lebih akrab. Semakin mereka dipandang sampah masyarakat dan tidak dipedulikan, semakin itu mereka memencilkan diri dari arus perdana, dan akhirnya membentuk sebuah kelompok yang tegar dengan cara mereka sendiri.

Ketika saya memberitahu mereka bahawa ‘mat rempit’ juga adalah golongan insan yang mulia sekiranya memiliki kualiti dan nilai hidup yang baik, ada di kalangan mereka yang terkejut dengan kenyataan itu. Saya katakan sebenarnya masyarakat sayang dengan mereka, dan sebab itulah sentiasa diberi nasihat agar mereka tidak melakukan perkara yang tidak baik.

Lantaran itu saya katakan kepada mereka agar dapat mengubah perspektif ‘mat rempit’ kepada suatu yang positif dan hidup bermaruah dan berkeyakinan diri. Kalau mahukan perubahan maka perubahan itu sendiri terkandung dalam “R-E-M-P-I-T”. R bermakna rohani yang perlu diisi dengan ingatan kepada Allah, mengikut segala yang disuruh dan menjauhkan segala yang dilarang. E ialah emosi yang perlukan perasaan yang baik, memahami orang lain, tidak membiarkan emosi yang tertekan. M adalah material iaitu sebagai golongan muda mereka mesti bekerja dan ada kemampuan ekonomi dengan tidak menyusahkan orang lain.

P adalah peraturan iaitu mereka wajib mengikuti peraturan dan undang-undang negara termasuk undang-undang di jalan raya. I ialah ilmu yang berguna dan sentiasa membina keinginan untuk menuntut ilmu. T adalah teknologi iaitu mereka sebagai golongan muda yang kreatif dan inovatif perlukan pengetahuan teknologi terkini yang dapat memberi sumbangan kepada negara.

Mungkin ada yang bertanya apakah kita akan berjaya akhirnya untuk mengubah ‘mat rempit’ ini? Jawapan tidak mungkin dapat diketahui sekiranya tidak ada permulaan untuk berusaha mencari jawapan. Ia perlukan daya usaha, dan tentunya akan diketahui natijahnya.

Usaha untuk mengubah dan membimbing ‘mat rempit’ dan ‘minah rempit’ ini tidak mungkin dapat ditangani dengan menganjurkan tindakan keras semata-mata. Adalah tidak adil kita terus menempelak pihak polis yang dianggap tidak mengambil tindakan. Apakah yang dapat dilakukan oleh pihak polis dan JPJ sekiranya kawalan di rumah langsung tidak dilakukan?

Maka ibubapa adalah bertanggungjawab dalam menangani masalah ini secara efektif. Sekiranya ibu bapa tidak memberikan perhatian, pengawasan dan nasihat tentunya masalah ‘mat rempit’ ini tidak dapat diselesaikan. Dari pemerhatian yang dibuat terhadap ‘mat rempit’ dan ‘minah rempit’, mereka keluar dari rumah untuk mencari rakan sebaya yang dapat menghilangkan kebosanan mereka berada di rumah. Dalam rumah sering kali berlaku masalah pertengkaran ibubapa, manakala anak-anak tidak diberikan perhatian.

Pandangan dan sikap masyarakat sendiri perlu berubah. Soal ‘mat rempit’ bukan suatu hal akademik, atau bahan ceramah, tetapi merupakan perkara yang nyata yang sedang berlaku di hadapan mata kita sendiri.

Justeru apabila Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengarahkan Pengerusi Putera UMNO untuk bertindak mengatasi masalah ini, ia adalah suatu kerja yang mulia tetapi penuh dengan duri dan ranjau. Moga usaha murni ini tidak terus ditempelak.

- Penulis ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sumber Manusia dan Teknologi Maklumat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak

PERHIMPUNAN 'MAT REMPIT' PERLU PERMIT


KUALA LUMPUR 17 Sept. – Polis menyarankan agar penganjur program perhimpunan 50,000 mat rempit di Bukit Jalil November ini memohon permit polis terlebih dahulu daripada Ketua Polis Daerah yang berkenaan.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) Bukit Aman, Datuk Mustafa Abdullah berkata, selain itu, pihak terbabit perlu menjelaskan tujuan dan perjalanan program berkenaan dalam permohonan mereka.

Menurutnya, daripada permohonan itu polis akan mengkaji dan meneliti program terbabit bagi memastikan ia selamat dilaksanakan.

‘‘Polis tiada masalah berhubung program berkenaan tetapi pihak terbabit kena mohon permit dulu daripada Ketua Polis Daerah.

‘‘Ini kerana kita tidak mahu timbul sebarang masalah dan keselamatan tidak terjamin sewaktu program itu berlangsung,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Mustafa berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang menyebut, pertubuhan itu akan menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat keputusan berhubung cadangan program perhimpunan 50,000 mat rempit di Bukit Jalil.

Menurut Abdul Azeez, program yang diadakan di antara Putera UMNO dan mat rempit bertujuan mendidik golongan itu ke arah yang lebih positif.

Mustafa berkata, mana-mana pihak yang mahu mengadakan perhimpunan atau perarakan perlu mengikut prosedur yang ditetapkan dengan memohon permit.

Katanya, selepas meneliti permohonan permit baru keputusan boleh dilakukan sama ada ia diluluskan atau sebaliknya kerana setiap kelulusan permit adalah di bawah kuasa Ketua Polis Daerah.

‘‘Bagi saya, hasrat program itu adalah murni tetapi paling utama keselamatan juga perlu dijamin,’’ ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Hasnan Hassan ketika dihubungi hari ini memberitahu, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang permohonan mengenai program tersebut.

‘‘Kita belum menerima sebarang permohonan permit berhubung program itu dan perkara tersebut diketahui hanya menerusi akhbar sahaja.

‘‘Kita perlu meneliti dahulu sebarang program sebelum permit dikeluarkan,’’ katanya.

PROGRAM DIDIK 'MAT REMPIT' HARUS BERPERINGKAT



TUJUAN murni Putera UMNO mendekati golongan mat rempit adalah satu usaha yang amat baik walaupun menimbulkan sedikit kontroversi. Sesungguhnya belum ada usaha seumpama itu dilakukan oleh mana-mana pertubuhan bukan kerajaan atau badan kerajaan bagi mendekati golongan ini secara holistik. Masyarakat sedia maklum bahawa golongan mat rempit ini sering menimbulkan masalah sosial dan mengganggu ketenteraman awam.

Oleh yang demikian hasrat Putera UMNO untuk mendekati golongan ini sangat-sangat dialu-alukan. Namun begitu adakah menghimpunkan sejumlah besar mat rempit ini merupakan satu langkah terbaik untuk menyedarkan kumpulan ini.

align="justify">Alasan Polis Diraja Malaysia juga perlu diambil kira dalam pelaksanaan program seperti ini. Kawalan ketat serta tindakan undang-undang dilihat tidak mampu membawa perubahan kepada mat-mat rempit, justeru idea untuk menghimpunkan mereka supaya dapat diberi nasihat sedikit sebanyak menimbulkan tanda tanya.

Sesungguhnya niat yang baik itu hendaklah dilaksanakan dengan perancangan dan kawalan kerana jika keadaan sebaliknya kemungkinan besar akan menimbulkan kesan yang negatif kepada banyak pihak.
Justeru hasrat untuk menghimpunkan sejumlah 50,000 mat rempit seolah-olah memberikan satu lesen besar kepada golongan ini untuk berpesta walaupun sebenarnya niat baik Putera UMNO untuk mendidik mereka dalam satu perjumpaan.

Kemungkinan yang akan timbul dan perlu difikirkan iaitu kemungkinan mereka sukar dikawal, berlaku vandalisme dan pergaduhan antara kumpulan, kecurian serta lain-lain aktiviti yang tidak kita jangkakan.

Pengalaman kami sewaktu menganjurkan Konvoi Kembara Merdeka PROSTAR di daerah ini pada 31 Ogos lalu sedikit sebanyak memberikan pengajaran dan pengalaman yang positif. Program yang mendapat sokongan Putera UMNO, Pergerakan Pemuda UMNO dan Menteri Besar Kedah itu telah membuahkan kejayaan walaupun bilangan penyertaan agak terhad. Taklimat secara jelas diberikan oleh PDRM selain ia diawasi sepenuhnya dari mula hingga ke akhir.

Selain itu konvoi hanya disertai peserta lelaki sahaja. Aktiviti gotong-royong di masjid selain solat berjemaah dapat dilakukan dengan terancang dan terkawal. Apa yang ingin dikongsi ialah bukan jumlah penyertaan yang ramai patut menjadi keutamaan Putera UMNO tetapi keberkesanan dan pengisian program yang tersusun dapat membantu mencapai objektif yang ingin dicapai.

Putera UMNO perlu menilai semula hasrat untuk mengadakan perhimpunan itu jika aspek kawalan dan keselamatan belum dapat dipastikan keberkesanannya.

Sedangkan program seperti PLKN dalam kem terkawal pun mempunyai masalah yang sukar dijangkakan apatah lagi jika program terbuka dan melibatkan penyertaan yang begitu ramai. Adalah lebih berkesan jika Putera UMNO mengadakan program tersebut secara berperingkat bermula di peringkat daerah dan seterusnya negeri.

Program di peringkat daerah dikhususkan kepada 100 mat rempit tegar dan seterusnya seramai 50 orang dibawa ke peringkat negeri untuk program susulan. Berikan mereka bengkel dan seminar sehari dua yang melibatkan pelbagai jabatan di bawah PDRM serta agensi seperti Agensi Dadah Kebangsaan.


Libatkan sama pelumba handalan di litar untuk mereka berkongsi pengalaman dan kesedaran untuk berubah menjadi lebih baik. Setelah itu, para mat rempit ini dijadikan sebagai tenaga utama dan penggerak untuk memberikan kesedaran kepada rakan-rakan di kawasan masing-masing. Walaupun jumlah penyertaan agak kecil tetapi kita dapat membuat pengisian secara berfokus dan terancang selain memudahkan hasrat yang diingini tercapai.

Semoga Putera UMNO mencari kaedah terbaik agar hasrat murni ini boleh direalisasikan menerusi program yang lebih tersusun dan terancang agar ia dapat dimanfaatkan oleh golongan mat rempit ini.

– LUKMAN MOIDIN,
Pengerusi Kelab PROSTAR
Daerah Padang Terap,
Kuala Nerang, Kedah.

PUTERA UMNO BERSAMA 8000 'MAT REMPIT' BERKONVOI KE LUMUT

DATARAN MERDEKA : Petang 9 September 2006, Dataran Merdeka menjadi saksi berkumpulnya 8,000 'mat rempit' sekitar Lembah Klang


PERHATIAN MEDIA : Dato Azeez menjadi perhatian media kerana berjaya mengumpul 'mat rempit' seramai itu

KERELAAN : Kesemua 'mat rempit' yang berkonvoi ke Teluk Batik bersama Putera UMNO tidak ditaja oleh mana-mana pihak sebaliknya semua perbelanjaan adalah tanggungan mereka sendiri.

MARSHAL : Tenaga penting bagi memastikan konvoi berjalan lancar

TAKLIMAT : Dato Abdul Azeez bersama Dato Norza Zakaria, hadir ketika pelepasan peserta di Dataran Merdeka

ISI MINYAK : Stesen Petronas kawasan Rehat dan Rawat Rawang menjadi destinasi pertama untuk mengisi petrol sebahagian anggota ekspedisi sebelum meneruskan perjalanan ke Teluk Batik

HUJAN LEBAT : Bermula dari pelepasan di Dataran Merdeka hinggalah ke Teluk Batik, anggota ekspedisi di iringi hujan lebat sepanjang perjalanan. Namun itu semua tidak mematah semangat mereka

TELUK BATIK : Majlis sambutan diatur rapi di Teluk Batik menyambut kedatangan 8,000 'mat rempit' pada malam itu

PATRIOTIK : Mereka juga memiliki jiwa merdeka







KUALA LUMPUR : Buat julung-julung kalinya seramai 8,000 'mat rempit' berjaya dikumpul oleh Putera UMNO bersama Team Sheel bagi Ekspedisi dua hari satu malam ke Teluk Batik, Lumut pada 9 dan 10 September 2006 lalu.


Program ini mendapat sambutan dari kalangan 'mat rempit' sekitar Lembah Klang, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.
Program yang mendapat kerjasama beberapa Kelab Motor dari negeri-negeri tersebut menjadi petanda awal bahawa golongan remaja bermotor yang sering dikaitkan dengan aktiviti lumba haram mampu disatukan bagi mencari hala tuju baru.


Menurut Pengerusi Putera UMNO, Dato Abdul Azeez Abd Rahim, langkah ini merupakan permulaan kepada dimensi baru bagi golongan remaja bermotor ini. Katanya, Putera UMNO tidak mahu bersikap negetif terhadap golongan ini sebaliknya mahu mendekati dan memahami kehendak mereka.


Katanya, Putera UMNO ingin mengenali dan menyelami kehendak mereka dahulu sebelum sama-sama untuk mencari jalan keluar kepada permasalahan yang membelenggu mereka selama ini.


"Ekspedisi ke Teluk Batik telah membuka ruang yang lebih luas kepada Putera UMNO untuk mengenali golongan ini dan Putera UMNO sudah mendapat sebahagian jawapan kenapa 'mat rempit' ini sering terlibat dalam aktiviti kurang sihat seperti lumba haram.


"Dari sini Putera UMNO telah menubuh satu jawatankuasa bersama dengan Kelab Sheel, sebuah kelab motor yang mempunyai anggota paling ramai di Lembah Klang dan beberapa negeri di utara tanahair" jelasnya.


Menurutnya lagi, Jawatankuasa ini akan bertindak sebagai sebuah pasukan petugas yang akan merancang dan merangka berbagai aktiviti untuk golongan ini.


Disamping itu beliau berharap semua pihak termasuk pihak media, polis dan masyarakat agar sama-sama berganding bahu bagi membimbing golongan remaja ini.


"Ada caranya untuk membendung aktiviti lumba haram di kalangan 'mat rempit ini. Putera UMNO memerlukan sedikit masa lagi dan berilah peluang kepada kami untuk sama-sama membantu golongan ini" katanya.

Tuesday, September 05, 2006

PUTERA UMNO BERJAYA KUMPUL 3,000 MAT REMPIT DI MALAM MERDEKA

MENARIK : Kumpulan yang digelar Mat Rempit

MAT SKUD : Dua kumpulan mat motor yang sering dikaitkan tidak sehaluan tapi malam itu bersama Putera UMNO mereka...

SEMANGAT MERDEKA : Mereka bersalaman dan bertemu untuk satu tujuan bersama Putera UMNO

AKUR : Mereka juga insan yang mengenal erti kesetiaan. Sebahagian daripada marshal diberi taklimat oleh Urusetia Putera UMNO sebelum Kembara Merdeka bermula

OTAI : Ramai yang mengenalinya dengan nama itu, tapi benar la kata orang, tak kenal maka tak cinta. Hari ini Putera UMNO mula belajar untuk mengenali mereka

SATU SEJARAH : Menjadi satu sejarah bilamana Putera UMNO berjaya mengumpul lebih 3,000 Mat Rempit di Lembah Klang dalam satu majlis

PERSAMAAN : Untuk kebaikan carilah persamaan dan bukannya mencari perbezaan. Mereka juga harta negara yang boleh dibentuk mengikut acuan kita


UNTUK APA : Pengerusi Putera UMNO, Dato' Abd Azeez Abd Rahim sanggup turun gelanggang demi mengenali dan memahami kehendak mereka. Hasilnya Putera UMNO sudah mampu mendekati golongan ini

MERDEKA : Malam itu, di malam merdeka, buat pertama kalinya remaja bermotor tidak merempit di jalanraya sebaliknya mereka bersama Putera UMNO mengibar jalur gemilang di bandaraya

ANAK MERDEKA : Mereka juga membuktikan bahawa merdeka ini milik kita bersama warganegara ini

Friday, September 01, 2006

PUTERA AKAN TUBUH KELAB MOTOR MAT REMPIT

RAPI : Dato' Azeez memberi arahan kepada urusetia Putera sebelum program bermula

MENGAWAL : Kenderaan pacuan 4 roda ini diguna sepanjang kembara bagi mengawal keadaan

DEKATI : Golongan ini perlukan perhatian dan Dato Azeez bersedia untuk itu bersama Putera UMNO

PRIHATIN : Mat Rempit juga warganegara yang prihatin. Malam itu sahaja mereka berjaya mengumpul RM 3,500 untuk Tabung Asia Barat

KOMITMEN : Saudara Suhaimi Abbas dari Kelab Motor Sheel bersedia untuk bersama-sama Putera UMNO dalam penubuhan Kelab Motor Mat Rempit

TURUN PADANG : Dato Azeez dan Saudara KJ bersama motorsikal masing-masing sangggup turun gelanggang bersama Mat Rempit dalam usaha mendekati golongan ini

PENAUNG : Saudara KJ bersedia untuk menjadi Penaung kepada Kelab Motor Mat Rempit. Satu suntikan kekuatan kepada usaha Dato Azeez

MENCATIT SEJARAH : Menjadi satu catitan sejarah bilamana seramai 1,500 Mat Rempit bertemu untuk menyertai Kembara Kemanusiaan di bawah naungan Putera UMNO Malaysia

SATU PERMULAAN : Langkah pertama yang akan disusuli berbagai aktiviti untuk golongan ini

Putera UMNO Malaysia diperingkat akhir untuk menubuh sebuah kelab motosikal yang akan mengumpul dan merancang setiap aktiviti khusus untuk golongan Mat Rempit di ibu kota.

Menurut Pengerusi Putera UMNO Malaysia, Dato’ Abdul Azeez Abd Rahim kelab yang sedang disesuaikan namanya itu nanti akan berfungsi bagi menaungi dan merancang aktiviti berfaedah untuk remaja bermotor di Lembah Klang.

Katanya, jika mendapat sambutan kelab tersebut akan diperluaskan keseluruh Negara dalam usaha membendung dan mengawal aktiviti lumba haram di kalangan remaja bermotorsikal di Negara ini.

“Saudara Khairy Jamaluddin Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia bersetuju untuk menjadi penaung kepada kelab tersebut” jelas Dato Azeez ketika ditemui di majlis Kembara Kemanusiaan Motor Putera di Dataran Merdeka baru-baru ini.

Program tersebut turut disertai oleh Saudara Khairy dan melibatkan penyertaan lebih 1,500 mat rempit sekitar ibu negara bergerak secara konvoi bermula pukul 10.30 malam dari Dataran Merdeka melalui Jalan Raja Laut, Jalan Chow Kit, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang dan berakhir semula di dataran tersebut

Menurut Dato Azeez lagi, golongan mat rempit ini tidak harus dipinggirkan dan Putera UMNO ingin memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki diri sekaligus menjadi sebahagian daripada warganegara yang berguna.

“Kita percaya hanya segelintir sahaja daripada mereka yang terlibat dalam lumba haram dan aktiviti yang tidak sihat. Itupun setelah kita mengkaji dan mendapati bahawa golongan ini perlukan rakan pembimbing yang baik untuk mereka keluar dari masalah tersebut.

“Oleh itu Putera UMNO akan berusaha untuk menjadi rakan pembimbing yang baik bagi membantu golongan ini” tegasnya